Murid Tahun 2 Trauma Hendak Ke Sekolah Akibat Dirotan Guru

Hanya kerana salah faham, seorang murid tahun dua sebuah sekolah kebangsaan di sini, cedera di belakang badan selepas dirotan guru Matematik, dalam kejadian Selasa lalu.

Zainab menyapu ubat pada bahagian belakang anaknya.
Nurul Noor Natasha Abdul Rahim, 8, dirotan guru lelaki berusia 40-an terbabit, selepas bertanya sesuatu yang tidak difahaminya kepada rakan lelaki di dalam kelas.

Bapa kanak-kanak itu, Abdul Rahim Osman, 50, mendakwa tindakan guru yang dipanggil Ustaz itu bukan saja menimbulkan rasa sakit tetapi turut meninggalkan kesan lebam pada belakang badan anaknya yang dipanggil Adik.

“Sebelum kejadian, guru itu memberi penerangan, namun tidak dapat difahami Adik lalu dia bertanya kepada rakan lelaki yang duduk di sebelahnya untuk minta penjelasan.

“Tidak semena-mena mereka berdua dirotan di belakang badan kerana berbual di dalam kelas, selain menuduh mereka membuat maksiat,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Seri Telok Mas, Telok Emas, di sini semalam.

Abdul Rahim yang bekerja sebagai pemandu di Syarikat Air Me-laka Berhad (SAMB) berkata, dia hanya mengetahui kejadian terbabit selepas dihubungi isterinya, Zainab Sarim, 49.

Zainab berkata, dia menjemput anaknya pulang dari sekolah kira-kira jam 1 tengah hari dan terkejut apabila melihat kesan lebam panjang seperti dirotan selepas membuka pakaian untuk mandi.


“Adik mengadu sakit di belakang badan dan saya terkejut apabila melihat terdapat kesan lebam. Setelah ditanya, Adik menceritakan dia dirotan guru. Akibatnya, Adik trauma dan takut untuk ke sekolah," katanya.

Berikutan kejadian itu, katanya, dia dan suami membuat laporan di Balai Polis Kandang, sebelum membuat pemeriksaan kesihatan di Hospital Melaka pada hari sama.

Menurutnya, laporan itu dibuat kerana ia kejadian kali kedua selepas kejadian anaknya itu dirotan di kepala oleh seorang guru wanita, dua bulan lalu, disebabkan tidak mahir dalam subjek Bahasa Inggeris.


"Selepas kejadian dulu, suami yang kemudian bertindak bertemu guru disiplin selepas guru besar tiada ketika itu.

"Mereka berjanji mahu menyelesaikan secara baik namun bukan sahaja tiada tindakan diambil malah tiada permohonan maaf dibuat guru terbabit," katanya.

Zainab berkata, tidak salah sekiranya anaknya dirotan bagi tujuan mendidik tetapi tindakan itu perlu dilakukan di anggota badan yang sesuai seperti di tangan.

Sementara itu, Exco Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi negeri, Datuk Md Yunos Husin berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan berhubung perkara berkenaan dengan segera.

“Saya akan menyiasat kedudukan sebenar dakwaan itu," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.


sumber

0 Response to "Murid Tahun 2 Trauma Hendak Ke Sekolah Akibat Dirotan Guru"

Post a Comment