
KUALA LUMPUR: Ekoran dakwaan penemuan bangkai pesawat di sebuah pulau di selatan Filipina yang dikaitkan dengan MH370, Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini memberitahu masih menunggu pengesahan daripada pihak berkuasa negara itu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pihaknya telah meminta polis Filipina pergi ke lokasi berkenaan untuk pengesahan.
"Kita tidak dapat mengesahkannya lagi dan minta rakan di Filipina pergi ke lokasi berkenaan untuk mengesahkan perkara itu.
"Itu pun kalau ada (bangkai pesawat). Jadi kita perlu tunggu pengesahan daripada pihak sana dahulu," katanya memetik laporan Sinar Harian.
"Saya jangkakan pengesahan itu akan mengambil masa dalam satu atau dua hari lagi.
"Benda besar seperti itu mana boleh disorok. Jadi kalau mereka (pihak berkuasa Filipina) pergi, dapat beri jawapan dengan cepat jika benar laporan itu," katanya.
Dua hari lalu polis Sabah menerima satu laporan yang mendakwa sebuah bangkai pesawat yang dikatakan mempunyai bendera Malaysia ditemui di sebuah pulau di selatan Filipina.
Laporan yang dibuat oleh seorang lelaki mendakwa terdapat bangkai manusia di dalam pesawat itu, sebagaimana yang dikatakan oleh anak saudara lelakinya dari Kepulauan Tawi Tawi di Pulau Ubian selatan Filipina beberapa hari lalu.
Pesawat Mh370 dilaporkan hilang pada 8 Mac tahun lalu, ketika melakukan penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing dengan membawa 239 penumpang dan anak kapal.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 6 Ogos lalu mengumumkan satu serpihan pesawat yang ditemui di Pulau Reunion sah sebahagian dari pesawat MH370.
Serpihan yang dinamakan flaperon itu adalah satu-satunya bukti fizikal kemalangan yang menima MH370 selepas hilang 515 hari.
0 Response to "PDRM Tunggu Pengesahan Polis Filipina Berhubung Dakwaan Bangkai Pesawat"
Post a Comment