Pelakon dan pengarah muzik, Lupita Nyong’o dinobatkan sebagai Orang Paling Cantik Dunia 2014 menerusi majalah terkenal, People. 



Pelakon berusia 31 tahun itu menerima undian tertinggi, sekali gus tersenarai dalam majalah terkenal itu yang diumumkan pada 23 April lalu. 






Sebelum ini, rezeki pelakon yang memenangi anugerah Oscar sebagai pelakon pembantu terbaik, 12 Years a Slave, tahun lalu, memang menampakkan tuah apabila berjaya membintangi Kempen Miu Miu dan didaftarkan sebagai wajah jenama kosmetik terkenal, Lancome tiga bulan lalu. 






Nyong’o sememangnya sentiasa meraih perhatian penggemar fesyen. Malah, sepanjang anugerah Oscar lalu, beliau antara yang ditunggu-tunggu ketika melalui permaidani merah. 



Apatah lagi, beliau mendapat pujian daripada industri fesyen sebagai selebriti yang pandai bergaya sehingga beberapa majalah kecantikan sering menceritakan kisah penjagaan kecantikan beliau dalam artikel kecantikan. 



Sehinggakan penulis buku dan perunding komunikasi terkenal, Enuma Okoro, Januari lalu mengumumkan Nyong’o sebagai wanita kulit hitam yang sangat dialu-alukan di Hollywood. 








Walaupun sudah dikenali dan meraih beberapa kejayaan, Nyong’o menganggap anugerah diterima kali ini sebagai satu penghormatan yang cukup mengujakan, malah diterima dengan senang hati.