Penjara Malaysia Antara Penjara Terbaik Di Dunia
gambar hiasan
Penjara Malaysia diiktiraf antara yang terbaik di dunia kerana aspek kebajikan dan hak asasi banduan memenuhi standard antarabangsa yang ditetapkan.
Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata program pemulihan yang dilaksanakan bukan sahaja dijadikan kursus pegawai penjara rantau Asia Pasifik di bawah Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP), malah turut digunakan di beberapa negara lain.
"Jabatan Penjara Malaysia amat peka terhadap hak asasi serta kebajikan penghuni, dan memastikan layanan profesional berlandaskan nilai kemanusiaan secara adil dan saksama.
"Semua penghuni dilayan dengan adil mengikut standard prosedur tanpa mengira bangsa, jantina atau fahaman politik," katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini, Rabu.
Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Shamsul Iskandar Mohd Akin (PKR-Bukit Katil) yang ingin tahu sama ada layanan terhadap banduan memenuhi standard peraturan minimum Pertubuhan Bangsa-Bangsa (UNSMR).
Wan Junaidi berkata Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) juga mengesahkan penjara Malaysia melaksanakan layanan terbaik kepada penghuninya.
Menjawab soalan tambahan Shamsul Iskandar sama ada banduan yang sudah mendaftar dibenarkan mengundi pada pilihan raya, Wan Junaidi berkata perkara itu akan dibincangkan bersama pihak berkaitan.
Mengenai penyakit batuk kering yang dihadapi penghuni dan pegawai penjara, Wan Junaidi berkata, kementerian itu akan bermesyuarat dengan pihak berkaitan bagi membincangkan isu itu.
"Saya sudah mengarahkan Jabatan Penjara mengaturkan mesyuarat bersama Kementerian Kesihatan untuk mengatasi masalah itu, khususnya pemberian imunisasi bagi yang dijangkiti dan langkah pencegahan lain," katanya.
Sementara itu, menjawab soalan tambahan Mas Ermieyati Samsudin (BN-Masjid Tanah) terhadap layanan terhadap tahanan wanita, beliau berkata, Jabatan Penjara sentiasa prihatin dengan keperluan golongan itu terutama yang hamil.
"Kita memberi layanan dan rawatan sama seperti yang diberikan kepada wanita luar penjara. Jika memerlukan rawatan setiap minggu, dia akan mendapatnya," katanya.
0 Response to "Penjara Malaysia Antara Penjara Terbaik Di Dunia"
Post a Comment