Saya Hanya Ibu Tiri Bukan Ibu Kandungnya








BERA – “Saya hanya ibu tirinya dan tidak pernah mendakwa sebagai ibu kandungnya,” luah Rosila Abu Samah yang sering dikaitkan media sebagai ibu kepada Mohd Khairul Amri Selamat, salah seorang penumpang pesawat Malaysia Airlines MH370.

Menurut Rosila, 50, setiap kali ditemubual oleh media baik dari dalam mahupun luar negara, beliau tidak pernah memperkenalkan diri sebagai ibu kandung kepada Mohd Khairul Amri, 29, seperti didakwa.

Rosila Abu Samah
Ibu tiri kepada salah seorang penumpang pesawat MH370 Rosila Abu Samah, 50, kelihatan sugul mengenangkan nasib anak tirinya Khairul Amri Selamat, 29, sambil memegang pasport beliau dan suami yang terselamat selepas merayu kepada perompak supaya tidak mengambilnya agar beliau dan suami dapat ke Perth, Australia, sekiranya pesawat MH370 telah dijumpai ketika ditemui di rumahnya yang dimasuki perompak di Felda Bukit Mendi, dekat Bera, hari ini. – Foto bernama



“Apabila ditemubual, saya selalu nyatakan saya ibu tiri kepada Mohd Khairul Amri, namun ada media melaporkan beliau sebagai ibu kandungnya.


“Saya tak nak orang salah faham dan biarlah saya jelaskan sekali lagi yang saya ini hanya ibu tiri kepada beliau,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Felda Bukit Mendi di sini hari ini.

Katanya, beliau sedar ada pihak yang kurang senang dan menuduhnya mengambil kesempatan daripada tragedi yang menimpa anak tirinya itu.

“Saya tidak ada kepentingan dalam situasi ini dan saya berada di sana (Putrajaya) hanyalah sebagai tanggungjawab saya menemani suami saya Selamat Omar, yang merupakan bapa kandung kepada Mohd Khairul Amri.

“Jika ada orang tuduh saya dapat wang saguhati yang diberikan MAS, itu tidak benar kerana semua wang itu diserahkan kepada isterinya,” kata Rosila yang kesal dengan tohmahan tersebut.

Katanya, beliau mendirikan rumah tangga dengan Selamat, 60, sejak 10 tahun lalu dan rapat dengan anak tirinya itu sejak beliau belajar di sebuah kolej di Seremban sehingga mendirikan rumah tangga bersama Erny Marsyila Mustafa.

Sehubungan itu beliau berharap perkara itu tidak berpanjangan kerana ia hanyalah salah faham.

“Saya mohon maaf kepada ibu kandung Mohd Khairul Amri, Normah Jaafar dan keluarga berhubung perkara itu, saya memang tidak pernah mendakwa sedemikian,” katanya.

Normah, 56, seorang guru Tadika Kemas pernah menyatakan kurang senang berhubung perkara itu kepada media. – Bernama

0 Response to "Saya Hanya Ibu Tiri Bukan Ibu Kandungnya"

Post a Comment