Anak Nak Nikah, Tapi Ayah Nak Kahwin Lagi !..

Tujuan saya menulis ke ruangan ini bukan nak buka pekong di dada, tetapi ingin mendinginkan dada ini yang dah lama mendidih macam gunung berapi. Rasanya dah tak boleh nak simpan lama, macam nak meletup dah, jadi daripada merosakkan jiwa lebih baik saya hamburkan keluar, paling tidak tenang sedikit hati yang bergelora ini.


Anak Nak Nikah, Tapi Ayah Nak Kahwin Lagi !..

Saya dah kahwin lebih 25 tahun, anak-anak semua dah besar, yang sulung dah setahun bekerja dan kalau diizinkan Allah kami bakal menerima menantu tahun depan.

Tetapi kelakuan suami saya amat memalukan, umur aja dah tua, rambut dah putih, tetapi berlagak macam orang muda. Demikian cerita Nilawati dalam e-melnya.

Suami saya bukanlah berpangkat besar, tetapi dia jadi ketualah dalam jabatannya. Di pejabat, baik kakitangan biasa mahupun pegawai atasan semua panggil dia tuan haji, tetapi kelakuannya tidak seperti yang digambarkan, semakin tua semakin miang.

Sebelum ini pun pernah dia buat perangai, tapi hilang selepas itu, namun sejak usia masuk peringkat emas ini perubahan kelakuannya nampak sangat jadi tak senonoh terutama sejak dia pandai terima dan hantar SMS.

Mula-mula dulu dia cakap juga pada kita bila terima message yang menggelikan hati, tetapi lama kelamaan dia jadi syok sendiri, ketawa sendiri dan senyum sendiri. Jadi kita fikir tentulah cerita-cerita kelakar dalam SMS tu, kita tak kisahlah.



Tapi peliknya sejak gila menjawab dan menghantar SMS dia tak berani lagi letak telefonnya merata-rata. Kalau dulu telefon bimpitnya dia main letak sesuka hati merata-rata, kadang-kala atas meja makan di dapur pernah juga tertinggal dalam bilik tetapi, akhir-akhir ini telefon bimbitnya tak pernah terlepas dari genggamannya.

Tetapi pepatah melayu ada mengatakan sepandai-pandai tupai melompak, satu hari jatuh juga ke tanah’. Entah macam mana satu hari suami saya tertinggal telefon bimbitnya di rumah, Kebetulan anak sulung saya, Along ada dia pun buka dan baca.

Katanya dia terkejut bila membacanya, mula-mula baca satu, kemudian dia baca semua yang tersimpan dalam peti simpanan.

Budak-budak muda sekarang cepat belajar, maklum anak zaman teknoloji, yang tak boleh buka pun dia tahu cara membukanya.

Beberapa hari dia simpan rahsia tak bagi tahu saya, dia tak mahu lukakan hati saya. Dan sejak itu kelakuannya berubah. Dia jadi pendiam, hinggakan nak bercakap dengan teman lelakinya pun dia jadi hilang mood.

Bila saya tanya, dia kata penat banyak kerja. Namun dia pun tak boleh simpan rahsia lagi, kerana dia takut keadaan ayahnya jadi lebih teruk lagi.

Satu hari Along bercerita, katanya mungkin ayah ada teman wanita. Terkedu saya. Tapi Along suruh saya bersabar, perhatikan kelakuan ayah katanya. Memang kelakuan orang tua bercinta lain sungguh. Jadi tak tentu arah. Hinggakan dia berhenti solat nak jawab SMS. Lepas berjawab-jawab baru dia nak solat semula.

Satu hari saya tanya suami saya, dia nafikan, dia mengamuk bila dapat tahu saya pandai buka SMSnya. Anak-anak kena jerkah juga sebab ajar saya buka SMS. Saya mengaku buka SMS sebab tak mahu dia marahkan Along.

Katanya wanita tersebut bekerja di pejabatnya. Mereka berbincang pasal kerja. Sebenarnya wanita itu bukan kawan sepejabat, tapi kenalan yang berpakat nak buat bisnes, tetapi lama-kelamaan mereka pakat-pakat main cinta. Sedihnya wanita tersebut isteri orang, kerana cinta mereka lupa siapa diri mereka sebenar.








Cinta juga boleh membuat lelaki yang dah mengerjakan haji lupa dosa pahala, lupa hukum hakam agama, lupa juga bahawa bercinta dengan isteri orang dosa besar.

Bila rahsia sudah terbuka, saya pun jalankan siasatan. Bila dia balik saya minta jawapan dan kepastian dari suami saya, apa lagi tentulah dia berang, mengamuk.

Tapi saya tak peduli, sebab tujuan saya nak selamatkan rumahtangga saya. Tapi lain pulak dengan suami saya, dia tuduh saya sengaja nak memalukan dia di pejabat. Dan dia juga nafikan hubungan cintanya dengan wanita tersebut.

Bila rahsia terbongkar, aman sebulan dia tak hantar SMS lagi. Tapi masuk bulan kedua dia buat hal semula, kali ini lebih teruk lagi, dia hantar SMS tak kira siang mahupun tengah malam. Dia sengaja nak sakitkan hati saya bila dengar muzik SMS masuk.

Tambah teruk lagi, kali ini dia bukan setakat hantar SMS aja, malah bercakap dengan wanita tersebut, siap dengan senyum dan lentoknya. Dia langsung tak ada perasaan malu bila bercakap depan anak-anak yang sudah dewasa. Bila bercakap dia seolah-olah ada dalam pejabatnya sendiri. Macam tak ada orang langsung.

Bila saya tegur malulah pada anak-anak ada dia mengamok sakan. Macam-macam benda keluar dari mulutnya memaki hamun saya. Memang sekarang suami saya dah bertambah teruk. Dia jadi orang muda mabuk bercinta. Kalau muda memang tak jadi halangan ini dah tua, tak lama lagi nak pencen. Sepatutnya dia sibuk menguruskan hal anaknya yang akan berkahwin tahun depan bukan sibuk main telefon.

Kerana dah tak tahan selalu bertengkar dan bergaduh, saya suruh dia kahwin lagi, saya sanggup dimadukan. Tapi dia menolak, katanya berkahwin dua bukan amalan adik beradiknya, jadi sibuk bercinta nak buat apa?

Akhirnya barulah saya faham dia nak kahwin lagi, tapi bukan berpoligami. Dia cari jalan nak ceraikan saya, dan keluar dari rumah ini. Tapi anak-anak suruh saya bersabar. Kata mereka ayah tengah gila bercinta jadi saya kena sabar.

Along lagi sedih, sebab dia merancang nak kahwin tahun depan, sekarang ayah pulak nak ceraikan saya. Inilah yang menyusahkan fikiran Along.



Sejak akhir-akhir ini bab pukul memukul dah jadi lumrah dalam hidup saya. Pantang saya minta duit lebih untuk makan minum anak-anak dia mengamok. Bila saya ajak berbincang tentang jemputan kahwinan Along pun dia mengamuk. Mangsanya tentulah saya sampai berdarah mulut dan lebam lengan saya kena tumbuk.

Peristiwa terbaru dia halau saya keluar rumah semata-mata kerana saya tegur dia pasal membaca dan menghantar SMS ketika sedang makan. Katanya kalau tak suka dengar bunyi SMS ini pintu terbuka luas saya boleh keluar. Dia pukul saya sampai terkencing dalam kain dan heret saya keluar rumah.

Bila anak-anak masuk campur mereka pun dihalau keluar. Riuh rendah rumah dengan tangisan dan jerit pekik. Hilang rasa malu pada jiran. Tapi kami tetap tak keluar rumah. Saya kesian anak yang tak berdosa pun jadi mangsa. Saya izinkan dia kahwin, tapi jangan seksa saya begini. Kami ada hak juga dalam rumah ini.

Saya sedar dia jadi sombong kerana dah berpangkat dan berduit, perempuan tu nak tak mahu berpoligami, dan syaratnya mesti kahwin sebelum dia bersara. Sebabnya tentu anda faham kan? Namun saya tetap tidak akan keluar dari rumah ini walaupun diceraikan.’’ Demikian cerita Nilawati panjang lebar.

Keadaan beginilah yang menakutkan, bercerai ketika di hujung usia, namun ramai wanita tak bimbang, sebab mereka ada anak-anak tempat menumpang teduh dan bermanja, kepada kaum lelaki, bolehkah anda menyesuaikan diri dengan pengganti baru.

Bolehkah anda membentuk isteri muda ini, atau si muda ini akan membentuk anda mengikut telunjuk dan kehendaknya. Pembaca tentu tahu jawapannya...








sumber

0 Response to "Anak Nak Nikah, Tapi Ayah Nak Kahwin Lagi !.."

Post a Comment