AZMIN TIDAK IDAMKAN JAWATAN MENTERI BESAR SELANGOR KATA ZURAIDA.




Antara isu besar yang dikaitkan dengan Azmin Ali adalah cita-citanya untuk menjadi Menteri Besar (MB) Selangor. Azmin kononnya kecewa apabila Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dilantik sekali lagi menerajui negeri paling maju di Malaysia itu.


Akibatnya, hubungan kedua-dua orang kuat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu dikatakan mula renggang sehingga berlakunya perebutan jawatan sebagai Timbalan Presiden PKR pada pemilihan kali ini.



Ketika bertemu dengan Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamarudin, wartawan MalaysiaGazette, HAMDAN OTHMAN berkesempatan bertanyakan perkara ini. Selama setengah jam bersembang santai dengan Ahli Parlimen Ampang ini, berikut adalah temuramah yang dirakamkan. Dalam temubual itu, beliau turut menyentuh tentang pemilihan pemimpin parti itu.



MalaysiaGazette (MG): Dah heboh satu Malaysia, Timbalan Presiden PKR Azmin Ali hendak jadi MB Selangor. Apa pandangan YB?



Zuraida Kamaruddin (ZK) : Ini lagi satu fitnah yang sengaja direka untuk melihat kedua-dua pemimpin PKR ini bermusuhan. Bila fitnah ini berjaya mengeruhkan hubungan Azmin dan Khalid, barulah orang yang membuat fitnah ini puas. Selagi hubungan mereka baik, selagi itulah pihak yang dengki ini akan tabur racun pada orang ramai.



MG: Macam mana YB boleh kata fitnah sedangkan Azmin sememangnya layak menjadi MB Selangor?



ZK: Soal layak adalah perkara lain. Fitnah tetap fitnah kerana Azmin tak pernah bercita-cita ke arah itu. Untuk pengetahuan semua, Azmin adalah pemimpin PKR yang taat pada arahan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Dia tidak pernah mengeluh apabila Abdul Khalid diberi jawatan MB. Apa yang saya tahu, Azmin lebih utamakan parti daripada memegang jawatan. Memang dari segi kelayakan, Azmin layak sangat jadi MB kerana selain orang lama, dia juga adalah Timbalan Presiden parti. Menariknya, hal itu tidak pernah dibincangkan malah tidak ada dalam agenda perjuangannya.



MG: Kenapa Azmin tidak bertanding jawatan Presiden? Sekurang-kurangnya dapat mengenepikan tohmahan PKR sebagai sebuah parti keluarga.



ZK:  Kalau Anwar tidak bertanding, Azmin akan meletakkan namanya sebagai calon. Itu yang dirancang pada peringkat awal. Tetapi pada masa sama, Azmin mahukan Anwar jadi Presiden daripada terus kekal sebagai Ketua Umum. Apabila Anwar umum untuk bertanding, Azmin lega dan terus pertahankan jawatan yang disandang sekarang. Dia memang mahukan Anwar jadi Presiden. Malangnya, Anwar tarik diri apabila tahu kelayakannya akan dicabut kerana keputusan mahkamah. Untuk menawarkan diri dah tak sempat sebab tarikh menghantar nama sudah tutup.



MG: YB dilihat berada dalam satu kem dengan Azmin untuk pemilihan kali ini. Kenapa tidak pilih Abdul Khalid?



ZK: Saya nampak cara kerja Azmin dan tahu dia seorang yang sangat komited dalam segala tugas yang diamanahkan. Dia bukan orang baru malah dia adalah antara pengasas parti. Segala perancangannya untuk parti tidak pernah gagal. Selama ini pun, dialah antara pemimpin yang banyak memperjuangkan kelangsungan parti hingga berjaya ke tahap hari ini.



MG: Bagaimana hubungan dengan Abdul Khalid bila YB sokong Azmin?



ZK: Orang banyak buat cerita kononnya saya dah tak boleh boleh kerja dengan Abdul Khalid. Hakikatnya, hubungan kami macam  biasa dan tidak terjejas sedikit pun. Kami professional dan tidak akan fikirkan perkara-perkara yang remeh macam tu. Soal sokong siapa, itu hak peribadi saya dan tidak akan menggugat prinsip perjuangan saya. - MalaysiaGazette

0 Response to "AZMIN TIDAK IDAMKAN JAWATAN MENTERI BESAR SELANGOR KATA ZURAIDA."

Post a Comment