Bapa Maafkan Anak Yang Memukulnya Dengan Hulu Cangkul

Kota Bharu - Seorang bapa yang dipukul dengan hulu cangkul oleh anaknya pada Ahad, memaafkan perbuatan anaknya dan berharap anak sulungnya itu menjadi manusia baik.



Mustapa Md Yasin, 46, yang cedera teruk di kepala selepas dipukul dalam kejadian di Kampung Gerai, Jertih, Terengganu, kelihatan tenang ketika ditemui di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, di sini.

Lelaki itu yang menerima beberapa jahitan di kepala berkata beliau memaafkan perbuatan anaknya kerana menganggap apa yang dilakukan anak sulung daripada lima beradik berkenaan sebagai di luar kawalan.

"Sedangkan kucing pun sayangkan anak, inikan pula kita manusia. Saya sayangkan dia dan memaafkan perbuatannya itu.

"Tidak mengapalah. Saya tahu dia mungkin tidak sengaja memukul saya begitu. Sebab itu saya maafkan perbuatannya dan harap dia insaf selepas ini," kata Mustapa.

Sementara itu, isterinya, Siti Khatijah Mohamad, 42, berkata merekasekeluarga menerima kejadian itu dengan hati terbuka kerana menganggap anaknya bertindak di luar sedar.



"Dia seorang anak yang baik dan rajin bekerja. Mungkin kerana tidak dapat mengawal kemarahan dia bertindak sedemikian...biarlah dia ditahan dulu," katanya.







Menurut polis, kejadian berpunca apabila lelaki itu memarahi anaknya yang berumur 24 tahun kerana bertindak menjual enjin motosikal bapanya bagi mendapatkan wang.

Ketua Polis Daerah Besut, Supt Kamaruddin Mohd Zakaria berkata suspek kini ditahan untuk siasatan. - Bernama











sumber

0 Response to "Bapa Maafkan Anak Yang Memukulnya Dengan Hulu Cangkul"

Post a Comment