‘Doktor’ wanita tipu pengurus RM75,470




Batu Pahat: Perkenalan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan seorang wanita yang mendakwa dirinya doktor, menyebabkan seorang lelaki yang juga pengurus syarikat swasta di sini, kerugian lebih RM70,000.

Lebih malang, apabila wanita terbabit sebenarnya tidak wujud dan mangsa yang berusia 33 tahun, langsung tidak pernah berjumpa dengan wanita berkenaan.

Difahamkan mangsa memindahkan wang simpanannya RM75,470 melalui 25 transaksi sejak 3 April 2011 kononnya sebagai persediaan majlis perkahwinan mereka.


Ketua Polis Daerah Batu Pahat Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, mangsa yang belum berkahwin itu mengenali wanita terbabit menerusi SMS dan mula menjalinkan hubungan mereka sehingga bersetuju hidup bersama.

Menurutnya, mangsa yang mula jatuh cinta dengan wanita terbabit nekad berkahwin. walaupun hakikatnya mereka tidak pernah bertemu.

“Mangsa pernah bercakap dengan wanita itu melalui telefon tetapi lebih kerap berkomunikasi melalui SMS malah mangsa mendakwa hubungan mereka sangat rapat biarpun tidak pernah berjumpa.



“Namun, selepas memindahkan sejumlah besar wang sehingga 23 Mei 2012, mangsa mula mengesyaki sesuatu dan melakukan siasatan dengan menghubungi hospital di Pantai Timur tempat wanita itu bertugas sebelum mengetahui wanita itu tidak wujud.

“Semua transaksi mangsa dipindahkan ke dalam akaun milik seorang lelaki berusia 35 tahun yang mendakwa dirinya abang angkat wanita terbabit,” katanya.

0 Response to "‘Doktor’ wanita tipu pengurus RM75,470"

Post a Comment