Hudud Tiada Tempat Dalam Perlembagaan Malaysia, Kata Peguam

Hudud boleh dikuatkuasakan di Malaysia hanya selepas Perlembagaan baru dibuat bagi menjadikan Malaysia sebuah negara Islam, kata seorang peguam perlembagaan.


Hudud Tiada Tempat Dalam Perlembagaan Malaysia, Kata Peguam

Mereka berkata, Perlembagaan Merdeka 1957 mengisytiharkan Malaysia sebuah negara sekular dan undang-undang jenayah Islam tidak boleh wujud bersama undang-undang keseksaan Persekutuan lain.

Para peguam berkenaan berkata, undang-undang masih boleh dicabar walaupun Perlembagaan dipinda untuk melaksanakan hudud kerana ini akan menyebabkan kerosakan terhadap struktur asas undang-undang tertinggi negara.






Mereka berkata, percubaan memperkenalkan Rang Undang-undang Persendirian bagi melaksanakan hudud di Kelantan boleh dianggap secara sah menentang Perlembagaan.

Para peguam mengingatkan ahli Parlimen dan ahli Dewan Negara yang dilantik bagi Parlimen mesti berpegang kepada sumpah jawatan mereka untuk memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan.

Mereka berkata, sebagai tindak balas kepada kemungkinan memperkenalkan Rang Undang-undang Persendirian untuk menguatkuasakan hudud di negeri dominan pro Melayu-Islam, Kelantan yang berada di bawah pemerintahan parti Islam PAS sejak 1990.

Jika diluluskan dengan undian majoriti mudah, Rang Undang-undang akan memberi kesan kepada Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan 1993.

The Malaysian Insider difahamkan Rang Undang-Undang bertujuan mendapatkan kuasa daripada Parlimen untuk membenarkan Kelantan mewujudkan undang-undang perkara jenayah yang terletak di bawah bidang kuasa persekutuan.

Ia juga menginginkan Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1988 yang mengehadkan kuasa hukuman mahkamah agama kepada tiga tahun penjara, denda RM5,000 dan enam sebatan diganti.

Sebaliknya, ia mahu hukuman seperti kematian, sebatan dan potong tangan bagi jenayah di bawah hudud diberikan kepada Kelantan.

Peguam, Malik Imtiaz Sarwar, berkata di atas kertas dan semangat Perlembagaan adalah sekular dan apa-apa percubaan memperkenalkan hudud boleh dianggap bertentangan dengan undang-undang tertinggi seperti yang dinyatakan di bawah Perkara 4 (1).


"Semua tindakan organisasi negeri, termasuk badan perundangan dan eksekutif, di peringkat persekutuan dan negeri , mesti bertindak secara konsisten dengan undang-undang tertinggi," katanya.

Terengganu yang diperintah oleh PAS antara 1999 dan 2004 juga menggubal Enakmen Jenayah Syariah 2003 yang memperkenalkan Qisas (pembalasan) terhadap kesalahan dan hukuman.

Beliau berkata, kedua-dua enakmen Kelantan dan Terengganu tidak dikuatkuasakan kerana ia mencabar Perlembagaan dan bantahan awam.

Malik, yang mewakili bekas pemimpin Umno Datuk Zaid Ibrahim berkata, anak guamnya diberi kebenaran oleh Mahkamah Persekutuan untuk mencabar kesahan enakmen atas alasan kedua-dua Dewan Undangan Negeri tidak kompeten untuk merangka undang-undang sebegini.

Beliau berkata, Putrajaya melalui peguam negara, menyokong permohonan itu.

"Bagaimanapun, petisyen akhirnya ditarik balik," katanya.

Malik berkata, percubaan membentangkan Rang Undang-Undang di Parlimen adalah "masuk melalui pintu belakang" untuk meminda Perlembagaan bagi memudahkan pelaksanaan hudud di Kelantan.

Mendiang Karpal Singah yang menentang pelaksanaan undang-undang hudud mempunyai pandangan sama ia akan merosakkan asas Perlembagaan.

"Terdapat beberapa peruntukan dalam Perlembagaan yang membentuk struktur asasnya. Sebarang cubaan mengubah struktur asas akhirnya akan merosakkan Perlembagaan, itu tidak boleh dilakukan.

"Isu hudud pernah menjadi persoalan dalam mahkamah pada 1988 dan ia mungkin akan berlaku lagi. Disebabkan itu, Mahkamah Persekutuan sebulat suara memutuskan negara ini diperintah oleh undang-undang sekular sekali gus membawa maksud Malaysia bukanlah negara Islam.

“Anda tidak boleh mempunyai sebuah negara Islam jika undang-undang sekular masih diamalkan," kata Karpal kepada The Roket dalam wawancara terakhir bersamanya.

"Struktur asas dalam Perlembagaan perlu diubah sama sekali. Ia akan merosakkan dokumen yang selama ini dipatuhi semua rakyat Malaysia. Ia adalah kontrak sosial dan kita perlu berpegang teguh kepada terma kontrak," Karpal dipetik sebagai berkata.

Seorang lagi peguam, Shukor Ahmad, berkata Kelantan dan Terengganu meluluskan enakmen untuk menyenangkan hati rakyat sedangkan mereka tahu Perlembagaan sekular tidak membenarkannya.

"Hudud tidak boleh dikuatkuasakan di bawah skim Perlembagaan ini, walaupun keperluan majoriti dua pertiga sudah cukup yang akan menjejaskan struktur asas,” katanya.

Shukor memberi contoh tunggak asas dicemar jika Parlimen membuat pindaan hukuman mati dan kebebasan tanpa proses undang-undang.

Beliau berkata, perlu diingatkan Perlembagaan adalah yang tertinggi di Malaysia dan bukannya Parlimen.

"Satu pihak terjejas boleh selalu beralih kepada badan kehakiman untuk menguji kesahihan undang-undang berbanding Perlembagaan," katanya.

Shukor memberikan contoh baru-baru ini apabila Mahkamah Rayuan membatalkan peruntukan dalam Akta Perhimpunan Aman 2012 sebagai tidak mengikut Perlembagaan kerana hak untuk berhimpun secara aman dicabuli.

"Parlimen boleh menggunakan majoriti kasar meluluskan undang-undang atau meminda Perlembagaan tetapi kesahihannya hanya boleh ditentukan apabila diuji di mahkamah," katanya.

Shukor berkata, hudud boleh dilaksanakan jika hanya ada satu kesatuan baru Perlembagaan diluluskan untuk menubuhkan sebuah negara Islam.

Peguam, Shahredzan Johan, berkata perlu ditekankan negeri-negeri di Malaysia dibenarkan untuk mengenakan hukuman jenayah terhadap umat Islam yang menentang ajaran Islam seperti berkhalwat , minum arak, kegagalan berpuasa pada bulan Ramadan dan keengganan solat Jumaat solat selama tiga minggu berturut-turut .

"Pelaksanaan hudud akan melihat penguatkuasaan Kelantan terhadap jenayah serius seperti rogol, pembunuhan, kecurian dan rompakan di mana kesalahan dan hukuman diperuntukkan dalam Kanun Keseksaan," katanya.

Beliau berkata, umat Islam di Kelantan akan tertakluk kepada undang-undang yang berbeza dan hukuman berbanding dengan orang bukan Islam dan ini membawa kepada ketidaksaksamaan dan diskriminasi.

Shahredzan mengumpamakan percubaan kerajaan Kelantan mendapatkan kebenaran pembentangan Rang Undang-undang seperti percubaan mendapatkan kunci menghidupkan enjin kereta (Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan).







Peguam, Fahri Azzat, berkata pihak yang terkilan boleh membawa kes ke mahkamah untuk mendapatkan penyelesaian, mempersoalkan sama ada itu adalah pilihan lebih baik untuk mencari penyelesaian mengenai perkara yang menjejaskan semua pihak.

"Lihat sahaja kontroversi sama ada orang bukan Islam boleh menggunakan perkataan Allah. Daripada menyelesaikannya secara politik, perkara ini disalurkan kepada mahkamah untuk diselesaikan, " katanya.

Fahri berkata, keputusan mahkamah juga tiada jaminan memuaskan semua pihak tetapi undang-undang perlu diikuti.

Beliau berkata, wakil rakyat kepada Parlimen hendaklah sentiasa meletakkan kebajikan rakyat dan negara berbanding politik partisan.

"Mereka perlu mengundi mengikut suara hati dan hasrat pengundi," katanya.

Fahri berkata, paling penting mereka mesti bertindak mempertahan dan mengekalkan serta melindungi Perlembagaan. – TMI 1 Mei, 2014.








sumber

0 Response to "Hudud Tiada Tempat Dalam Perlembagaan Malaysia, Kata Peguam"

Post a Comment