PETALING JAYA - Pelakon dan penyanyi Ifa Raziah kesal apabila ada pihak mempersoalkan kemampuan Mohd Yani Abdul Rahman apabila suaminya itu menghadiahkan dia sebuah kereta Mercedes C200 sempena ulang tahun perkahwinan mereka ke 10, pada 24 April lalu.
Ifa, 39, berkata, sepatutnya pihak berkenaan tidak perlu mempersoalkan apa-apa memandangkan suaminya membeli kereta tersebut atas usaha dalam perniagaan yang mereka jalankan bersama.
“Suka hatilah suami saya nak hadiahkan apa-apa dekat saya! Itu hak dia. Kenapa perlu orang persoalkan kemampuan suami saya?
“Orang hanya melihat pada dasarnya sahaja tetapi mereka tidak tahu apa yang kami lakukan. Kami mempunyai beberapa perniagaan yang diusahakan bersama dan rasanya itu sudah cukup untuk saya jelaskan sama ada dia mampu atau tidak membeli kereta itu.
“Dan sebagai isteri yang banyak berkorban demi suami. Saya rasa layak untuk menerima hadiah itu. Kenapa perlu memandang hina?
“Itulah masalah kebanyakan masyarakat kita, tidak pernah mahu bangga dengan kejayaan orang lain, sebaliknya hanya tahu mengutuk sahaja,” katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini pada petang Selasa.
Ifa diminta mengulas mengenai persoalan segelintir pihak yang mempertikaikan kemampuan suaminya menghadiahkan dia sebuah kereta mewah sempena ulang tahun perkahwinan mereka.
Isu itu diperkatakan apabila Ifa mengambil langkah memuat naik gambarnya ketika menandatangani dokumen pembelian jual-beli kereta dengan kapsyen menerima hadiah daripada suami.
Malah Ifa juga dikatakan sengaja mahu menunjuk-nunjuk dan meniru langkah Rozita Che Wan yang menjadikan kereta mewah sebagai hadiah atas kejayaan anaknya, Ammar Effendy mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Bagaimanapun Ifa menganggap pertikaian dan tuduhan mengatakan dia riak semuanya berpunca daripada laporan mengenai hadiah yang diterimanya itu.
“Di Instagram, apabila orang tanya hadiah apa saya dapat, saya cuma cakap beli kereta kancil sahaja. Dan apabila wartawan menghubungi saya dan bertanya banyak kali, maka saya pun beritahulah hadiah sebenar yang saya dapat.
“Bukannya saya yang mula menghebohkannya. Saya tahu pihak media ingin menyampaikan cerita hadiah yang saya terima ke arah niat yang positif. Tetapi biasalah, apabila ramai pembaca, dalam yang memuji ada yang mengutuk,” ujarnya.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Ifa bakal muncul sebagai pengacara sebuah program realiti Make Over Mom siaran Astro selain sibuk dengan undangan persembahan nyanyian di majlis-majlis korporat.
Ifa berkata dia dan suaminya juga turut sibuk menguruskan perniagaan produk kecantikan, Seri Cantik selain terlibat dengan beberapa pelaburan saham, lapor mStar.
0 Response to "Ifa Raziah Kesal"
Post a Comment