“Saya tidak menentang kak Ogy, cuma tak berkenan cara dia menyampaikan komen,” luah pelakon, pengarah dan pengacara Afdlin Shauki Aksan yang kesal dengan kritikan ketua juri program Bintang Mencari Bintang (BMB2) musim kedua, Fauziah Datuk Ahmad Daud (Ogy) terhadap protegenya, kumpulan Ooooo, malam kelmarin.
Afdlin, 43, menyifatkan, teguran dan komen Ogy kepada dua anak didiknya iaitu Zack dan Ridhuan dalam pertandingan separuh akhir pertama itu terlalu keras, keterlaluan dan menjatuhkan air muka mereka.
Ketika dihubungi semalam, Afdlin berkata, dia menghormati aktres berpengalaman itu, tetapi pendekatan itu dilihat menjangkaui tahap profesionalisme aktres itu.
“Saya faham dan hormati dia cuma berharap tak perlu dia marah begitu sekali. Saya pelik kenapa dia marah macam itu sangat?
“Bagi saya, ia terlalu keras sampai menjatuhkan air muka dan bukan mendorong mereka (peserta) menjadi lebih baik,” katanya.
Terdahulu, Afdlin meluahkan kekesalan itu menerusi mesej Twitter pada tengah malam kelmarin selepas program selesai, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi daripada peminat.
Menerusi tweet itu, Afdlin berkata, Ogy tidak perlu terlalu berkeras kerana semua peserta adalah bakat baru yang masih memerlukan bimbingan.
Katanya, pendekatan itu boleh meninggalkan kesan negatif kepada peserta kerana BMB2 ditonton masyarakat di seluruh negara.
Zack dan Ridhuan tersingkir daripada persaingan separuh akhir pertama di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, dekat sini, malam kelmarin selepas mendapat markah tercorot, 34.8 mata.
Sumber : newmalaysianpost.com
0 Response to "Afdlin Tak berkenan cara kak Ogy menyampaikan komen"
Post a Comment