Kanak-Kanak Dipukul Kerana Wajah Mirip Ibu




TELUK INTAN – Seorang bapa bertindak memukul anak lelakinya berusia lima tahun dengan tali pinggang hingga cedera di beberapa bahagian badan hanya kerana wajah kanak-kanak berkenaan mirip ibunya.

Lelaki berusia 28 tahun itu dikatakan bertindak demikian setelah berang isterinya lari meninggalkan rumah mereka di Estern Garden, Jalan Sungai Nibong sejak tiga tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, pengadu yang juga ibu saudara mangsa berusia 31 tahun memaklumkan ketika sedang bekerja, dia menerima panggilan jiran menyatakan terdengar bunyi bising dari rumahnya.

Menurutnya, jiran pengadu mengesyaki mangsa dipukul menyebabkan pengadu bergegas pulang ke rumah dan mendapati kanak-kanak itu mengalami kesan calar serta lebam di badan.

“Kejadian itu disaksikan sendiri empat anak pengadu yang berada di rumah tersebut.

“Pengadu kemudiannya mengejutkan suspek yang tidur selepas memukul mangsa dan bertanyakan mengapa memukul anaknya. Suspek memberi alasan mangsa adalah anaknya dan dia boleh buat apa sahaja,” katanya.

Kok Liang berkata, pengadu kemudiannya membawa mangsa ke Hospital Teluk Intan untuk mendapatkan rawatan.

Menurutnya, setelah membuat pemeriksaan, doktor mengesahkan mangsa mengalami banyak kesan lebam di belakang badan, muka, bahu dan kaki sebelum satu laporan polis dibuat.

“Berdasarkan laporan polis itu, pihaknya telah pergi ke rumah suspek namun lelaki itu tiada di rumah malahan pengadu dan serta ahli keluarga tidak tahu ke mana suspek pergi,” katanya.

Beliau berkata, kira-kira jam 10 pagi kelmarin, polis berjaya menahan suspek berhampiran di Kampung Banjar dan telah dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut.

Katanya, siasatan lanjut mendapati, mangsa merupakan anak kandung suspek dan pengadu telah menjaga mangsa sejak ibu mangsa menghilangkan diri tiga tahun lalu.

“Suspek dipercayai tidak sukakan mangsa kerana anaknya itu memiliki raut wajah mirip isterinya dan suspek dikatakan sering memukul mangsa tanpa sebab sejak lelaki itu tinggal serumah dengan pengadu kira-kira tujuh bulan lalu,” katanya.

Beliau berkata, suspek ditahan reman empat hari untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001. – Sinar Harian Online

0 Response to "Kanak-Kanak Dipukul Kerana Wajah Mirip Ibu"

Post a Comment