Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini memulakan tindakan menyaman laman portal berita Malaysiakini berhubung komen pembaca yang disiarkan portal berkenaan.
Writ saman berkenaan diserahkan hari ini di pejabatnya di Bangsar, menurut laporan laman portal itu.
Saman itu menamakan penerbit Malaysiakini, Mkini Dotcom Sdn Bhd, Ketua Pengarang Kumpulan Steven Gan dan Ketua Pengarang Fathi Aris Omar sebagai defendan.
Penyaman bersama adalah Setiusaha Kerja Umno Datuk Abdul Rauf Yusoh. Pengurusan kes ditetapkan pada 18 Jun depan.
Sebelum ini, pada 16 Mei lepas Najib yang juga Presiden Umno memulakan tindakan untuk mengambil tindakan saman ke atas laman web itu kerana penyiaran dua artikel mengumpulkan pandangan pembaca dalam krisis politik Terengganu baru-baru ini.
Notis tuntutan diserahkan kepada laman web itu sehari sebelumnya melalui firma guaman Tetuan Hafarizam Wan dan Aisha Mubarak yang mewakili Umno dan Najib.
Menurut laporan Malaysiakini berhubung tindakan itu, Peguam Datuk Muhd Hafarizam Harun merujuk dua artikel bertajuk “A case of the PM reaping what he sows” and “How much will Najib spend to keep Terengganu?”.
Katanya, komen daripada tujuh pembaca dalam artikel itu antaranya menggambarkan Umno parti politik tidak berintegriti, rasis, tidak mengambil berat pada bangsa lain, tidak mempunyai moral yang baik serta tidak berkaliber.
Najib dan Umno menuntut permohonan maaf tidak bersyarat daripada Malaysiakini, menerbitkan penarikan balik artikel itu dan menyediakan akujanji bertulis tidak akan mengeluarkan lagi kenyataan serupa dalam tempoh 48 jam.
Malaysiakini juga dituntut membayar ganti rugi untuk kerosakan reputasi yang teruk, termasuk kos dan perbelanjaan.
Jika tiada maklum balas dalam tempoh itu, prosiding mahkamah akan diteruskan terhadap portal itu. – MYNEWSHUB.MY
Oleh : KUMBANG WIRA

0 Response to "Perdana Menteri Saman Malaysiakini.Com"
Post a Comment