KUALA
LUMPUR, 5 JULAI 2014: “Sepatutnya saya yang pergi dulunya…bukan dia…sebab saya
lebih banyak lagi penyakit berbanding dia,” kata Sharifah Noor atau Umi dalam
getar suara yang cukup sebak saat bercerita tentang pemergian Bidunita Negara,
Datuk Sharifah Aini.
Bonda kepada Datuk Sharifah Aini ini berkata
demikian tatkala meluahkan perasaannya kepada pengacara Apa Kata Malaysia
hlive!, Datuk Aznil Hj Nawawi yang ketika itu sempat meluangkan masa untuk
menziarahi jenazah Allahyarhamah selepas beliau menghembuskan nafasnya yang
terakhir di Hospital Pakar Damansara, kira-kira jam 1.26 pagi
tadi.
Allahyarhamah Datuk Sharifah Aini yang mesra
disapa sebagai Kak Pah atau Kak Ani di kalangan rakan-rakan seperjuangan atau
peminatnya itu meninggal dunia setelah berada di dalam keadaan yang cukup
kritikal akibat jangkitan pada paru-paru.
Umi yang berkerusi roda serta ditemani suaminya
(bapa tiri Kak Pah) dalam keadaan yang masih hiba turut memberitahu bahawa dia
terkilan kerana pulang lebih awal setelah keadaan Kak Pah mula pulih sebelum
dimasukkan sekali lagi ke pussat pakar perubatan tersebut.
“Saya terkilan… sebab balik dulu. Tak
sangka jadi begini. Sedihlah….,” katanya dengan air mata yang berjuraian keluar
sambil disaksikan oleh Datuk Aznil Hj Nawawi atau Pak Nil yang turut tak dapat
menahan rasa sedihnya. Beberapa kali juga Pak Nil juga menenangkan Umi dan
meminta wanita tua tersebut supaya bersabar.
Umi terdiam seketika mendengar kata-kata Pak
Nil itu tetapi kemudian menyambung kembali kata-katanya.
“Sebetulnya sebelum pulang saya
beritahu pada dia yang saya mahu pulang. Saya juga beritahu dia: “Umi sayang
Ani…Dia anggukkan kepala.
“Saya sangka anggukannya itu bermaksud
dia okey. Tapi, saya tidak sangka pula yang berlaku adalah sebaliknya dan saya
kembali bergegas untuk melihat dia tapi dia sudah
tiada.
“Mungkin dia mengangguk sebab tidak
mahu susahkan saya. Sedihlah…memang sedih sangat” kata Umi sambil
menggeleng-gelengkan kepala dan air matanya kembali bergenang di kelopak matanya
dan kemudian terus mengalir turun ke pipi. - Murai
0 Response to "Umi (Bonda Datuk Sharifah Aini): Sepatutnya Saya Yang Pergi Dulu!"
Post a Comment