Peminat Liverpoll mendapatkan tandatangan Balotelli
LIVERPOOL – Liverpool hanya akan menandatangani Mario Balotelli jika pemain itu bersetuju dengan klausa tingkah laku yang terkandung di dalam kontrak yang bakal ditandatanganinya.
Yuran perpindahan bernilai 16 juta pound (RM83 juta) telah dipersetujui dengan AC Milan kelmarin bagi mendapatkan khidmat penyerang itu, tetapi sumber rapat dengan Brendan Rodgers memaklumkan masih terdapat beberapa halangan yang perlu diselesaikan, walaupun perundingan berhubung soal kewangan sebahagian besarnya telah dipersetujui.
Difahamkan, perjanjian hanya akan termaktub jika wakil kedua-dua pihak bersetuju dengan syarat-syarat ketat yang dikenakan berhubung tingkah laku Balotelli yang ke Liverpool kelmarin selepas mengucapkan selamat tinggal kepada kakitangan dan para pemain di pangkalan latihan Milan.
“Mario Balotelli telah meninggalkan Milanello pada pukul 1.30 petang (7.30 malam waktu Malaysia) selepas mengucapkan selamat tinggal kepada rakan sepasukan dan kakitangan kelab,” kata AC Milan dalam kenyataan di laman web kelab tersebut.
Bagaimanapun, persetujuan hanya dimeterai jika penyerang itu dan ejennya, Mino Raiola bersetuju dengan syarat-syarat yang telah ditetapkan.
Di pusat latihan Liverpool
Namun, Rodgers tidak akan memberikan lampu hijau bagi mengesahkan perpindahan yang melakar kejutan terbesar pada musim panas ini, sehingga dia sendiri bertemu dengan Balotelli secara bersemuka dan mendapat jaminan daripada pemain berusia 24 tahun itu bahawa dia akan bersikap profesional berhubung komitmennya terhadap kelab.
Bos The Reds itu tidak akan membuat pengumuman sehingga perpindahan tersebut selesai dan dijangka hanya dimuktamadkan selepas hujung minggu ini kerana Liverpool mahu memberikan tumpuan kepada perlawanan besar di Manchester City Selasa ini.
Tetapi secara peribadi, Rodgers mengakui dia mengambil tindakan yang berisiko tinggi setelah penyerang itu hampir memusnahkan reputasi bekas bos Manchester City, Roberto Mancini dengan tingkah laku buruknya di Eastlands.
Bagaimanapun, pengurus itu tetap percaya klausa di dalam kontrak yang mengandungi syarat-syarat ketat berserta budaya di Anfield dan semangat berpasukan yang dimiliki, para pemain mampu mengekang masalah tersebut daripada berlaku.
Liverpool turut percaya mereka telah mengurangkan risiko dengan menurunkan harga pemain itu dan yakin jika perjanjian tersebut dilanggar, mereka boleh menjual penyerang tersebut dalam tempoh setahun dengan harga yang serupa dan dalam masa sama pemain yang baru ditandatangani, Divock Origi akhirnya akan tiba ke Anfield, selepas dipinjamkan selama setahun kepada Lille.
Reds juga masih berminat terhadap Samuel Eto’o, yang sedang berunding dengan Everton. – AGENSI
0 Response to "Balotelli kena patuh syarat ketat Liverpool"
Post a Comment