sekadar gambar hiasan
Soalan:
Saya telah diceraikan suami melalui SMS tanpa pengetahuan saya. Dalam masa idah, dia ada beberapa kali 'bersama' dengan saya. Tapi setelah tiga bulan, baru dia berterus-terang yang dia telah menceraikan saya. Kami ke mahkamah dan hakim telah menjatuhkan talak satu pada saya. Apakah sah perceraian kami kerana dia telah 'bersama' saya ketika dalam idah?
Jawapan :
Dalam soalan puan, saya dapat mengenal pasti beberapa isu yang perlu saya kupas. Pertama, adakah perceraian melalui SMS tersebut sah atau tidak? Kedua, Adakah terjadi rujuk dalam tempoh idah?
Hukum perceraian melalui SMS ini telah diteliti dan diperhalusi dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal-Ehwal Agama Islam kali ke-55. Hasil daripada muzakarah itu menyatakan seperti berikut:
1. Talak dalam bentuk tulisan yang jelas daripada suami yang ditujukan dengan jelas dan khusus kepada isterinya adalah merupakan talak berbentuk kinayah. Talak dalam bentuk kinayah ini adalah sah jika si suami memang berniat untuk menceraikan isteri. Talak dalam bentuk tulisan ini termasuk melalui faksimili, SMS, emel dan sebagainya.
2. Perceraian melalui cara ini perlu dibawa ke mahkamah syariah untuk disabitkan atau disahkan sama ada telah jatuh talah atau tidak ke atas isteri.
3. Talak yang dilakukan melalui alat komunikasi moden ini adalah kaedah perceraian yang tidak bertempatan dengan adab yang digariskan oleh hukum syarak.
Kembali kepada soalan, puan menyatakan hanya dimaklumkan setelah tiga bulan daripada tarikh suami mentalakkan puan melalui SMS. Tindakan puan membawa kes itu ke mahkamah adalah tepat.
Pandangan mazhab
Saya pasti semasa proses pengesahan perceraian, suami puan telah mengaku kepada hakim bahawa dia telah menceraikan puan melalui SMS. Talak melalui SMS ini adalah talak kinayah yang memerlukan niat suami tersebut. Saya pasti mahkamah mensabitkan perceraian itu berdasarkan pengakuan suami bahawa dia memang berniat untuk menceraikan puan melalui SMS tersebut. Oleh itu, perceraian tersebut adalah sah.
Perceraian tersebut adalah tetap sah walaupun sebagaimana yang puan dakwa puan dan suami telah bersama dalam tempoh idah. Mungkin puan agak keliru berkenaan perkara ini. Persetubuhan semasa idah tidak memberi apa-apa kesan kepada perceraian. Perceraian tersebut adalah tetap sah.
Yang menjadi isu adalah adakah terdapat rujuk semasa dalam idah puan? Sekiranya tiada, maka untuk bersama sebagai suami isteri, perlu kepada akad nikah baru. Jika telah disahkan oleh mahkamah terdapat rujuk semasa dalam tempoh idah, maka tidak perlu kepada akad nikah yang baru. Bagaimanapun, haruslah diingat bilangan talak ke atas diri puan sebagaimana yang digariskan oleh hukum syarak telah berkurang kepada dua sahaja.
Berkenaan rujuk semasa dalam tempoh idah, terdapat beberapa pandangan mazhab mengenai perkara ini. Menurut Mazhab Syafie; syarat rujuk adalah perkataan yang membawa maksud untuk rujuk. Maksudnya, rujuk bagi orang yang boleh bercakap dan tidak bisu adalah melalui perkataan sahaja. Lafaz perkataan ini sama ada secara sarih (terang) atau kinayah (kiasan) yang perlu disertai dengan niat. Lafaz yang terang adalah seperti "Aku telah mengembalikan mu." Lafaz kiasan adalah seperti "Aku telah kahwinkan kamu."
Manakala rujuk melalui perbuatan tidak dikatakan sebagai rujuk di sisi Mazhab Syafie. Rujuk melalui perbuatan ini adalah seperti melakukan persetubuhan dan lain-lain perlakuan yang biasa dilakukan suami isteri.
Menurut Mazhab Hanafi, rujuk adalah melalui perkataan yang terang, perkataan secara kiasan yang perlu kepada niat rujuk dan rujuk juga diterima melalui perbuatan seperti persetubuhan dan sebagainya.
Menurut Mazhab Maliki, rujuk terhasil sama ada melalui perkataan atau perbuatan atau niat. Rujuk melalui niat ini adalah seperti suami hanya berkata dalam hati bahawa "aku merujukinya" atau sebagainya. Bagi Mazhab Maliki, perbuatan atau perkataan tersebut mestilah disertai dengan niat atau rujuk.
Menurut Mazhab Hanbali dan Al-Awaza'i; rujuk adalah melalui perkataan yang terang atau melalui persetubuhan sama ada terdapat niat atau untuk rujuk atau tidak.
Akad nikah baru
Dalam kes ini, puan menyatakan puan dan suami telah bersama dalam tempoh idah. Beberapa perkara perlu dipastikan terlebih dahulu antara puan dan suami:
1. Adakah suami puan ada melafazkan perkataan untuk rujuk?
2. Adakah persetubuhan tersebut berlaku benar-benar dalam kiraan tempoh idah?
Apa yang perlu puan perlu lakukan adalah mendapatkan pengesahan bagi rujuk tersebut. Sekiranya puan berasakan perlu mendapatkan nasihat terperinci, puan dan suami boleh mendapatkan nasihat di pejabat agama Islam dan kawasan puan.
Perkara berkenaan rujuk ini perlu mendapatkan pengesahan dari mahkamah syariah. Puan boleh memfailkan permohonan untuk pengesahan daripada suami puan sendiri sama ada terdapat lafaz untuk rujuk atau tidak semasa dalam tempoh idah.
Menurut Mazhab Syafie, sekiranya tiada lafaz untuk rujuk, tidak dikira sebagai rujuk. Oleh itu, jika suami menyetubuhi isteri semasa dalam tempoh idah dan setelah itu isteri mulai suci dari tarikh persetubuhan tersebut, maka suami perlu merujuki melalui perkataan dalam masa idah yang masih berbaki.
Jika mahkamah memutuskan rujuk tersebut adalah sah, maka perhubungan puan dan suami harus diteruskan tanpa perlu kepada akad nikah yang baru.
Bagaimanapun, jika mahkamah mendapati tiada rujuk dalam tempoh idah tersebut, maka untuk puan dan suami bersama semula dalam perkahwinan adalah wajib kepada akad nikah yang baru.
Nasihat saya, bagi mengelakkan perkara syubahat dan dharar yang lebih besar berlaku, adalah wajar puan tinggal berasingan dengan suami sehinggalah mahkamah memutuskan berkenaan rujuk tersebut.
Sekiranya mahkamah tidak mensabitkan rujuk tersebut, persetubuhan yang berlaku di antara puan dan suami semasa dalam tempoh idah menurut Mazhab Syafie adalah haram.
Namun, ia tidak dikira sebagai zina kerana puan masih dikira sebagai isteri selagi tempoh idah puan belum tamat. Saya berharap penerangan ini dapat memberi panduan pembaca lain.
Kamaazura Md Kamel
Penulis buku Dari Kamar Syariah
0 Response to "Isteri 'Terlanjur' Dengan Suami?"
Post a Comment