Bukan Niat SPRM Jatuhkan Jabatan Kastam


KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dan mendakwa beberapa pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di mahkamah bukan bertujuan memburuk-burukkan atau menjatuhkan imej jabatan itu.

Pengarah Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Mohd. Jamidan Abdullah berkata, tindakan itu sebaliknya bertujuan melumpuhkan aktiviti penyeludupan dan rasuah yang menyebabkan berlaku ketirisan wang negara yang besar.

Justeru,katanya, SPRM menghargai kerjasama JKDM dan menyambut baik langkah-langkah yang akan diambil oleh jabatan itu merombak penempatan pegawai dan menyemak prosedur operasi standard (SOP) yang diguna pakai.

“SPRM mengesahkan ada membuat tangkapan terbaru pada 17 September 2014 melibatkan 16 pegawai JKDM hasil siasatan lanjut ke atas tangkapan terdahulu iaitu pada 3 September 2014.

“Kejayaan ini adalah hasil pemerhatian selama setahun di kawasan Zon Bebas Pelabuhan Klang oleh pasukan khas yang turut dianggotai jabatan dan agensi penguatkuasaan lain termasuk polis dan CyberSecurity,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas Mohd. Jamidan, seramai 13 pegawai JKDM ditahan reman selama tujuh hari sehingga 24 September 2014 manakala dua lagi direman selama enam hari mulai hari ini.

Menurutnya, pasukan khas itu menggunakan kaedah risikan dan penyiasatan berasaskan analisis bagi menembusi kerja-kerja penyeludupan dan aktiviti rasuah yang melibatkan anggota sindiket dan penguat kuasa terbabit. 


Sumber: mynewshub.cc

0 Response to "Bukan Niat SPRM Jatuhkan Jabatan Kastam"

Post a Comment