Keputusan Percubaan SPM Tidak Boleh Guna Untuk Kemasukan Pra Universiti Bermula 2015

syarat kelayakan pra u

Keputusan Percubaan SPM Tidak Boleh Guna Untuk Kemasukan Pra Universiti Bermula 2015 | Kementerian Pendidikan memaklumkan Notis Pekeliling yang mengejutkan industri pendidikan swasta apabila lepasan sekolah menengah tidak lagi akan menggunakan keputusan percubaan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk memasuki program asas atau pra universiti bermula Januari 2015. Keputusan yang dibuat ini akan menyebabkan kelayakan kemasukan tidak seperti tahun sebelumnya yang telah terpakai lebih 30 tahun lalu.

Pelajar menduduki peperiksaan SPM pada November dan keputusan kebiasaannya akan diumumkan pada akhir bulan Mac tahun berikutnya.

Setiap tahun seramai 30,000 pelajar lepasan mendaftar menggunakan keputusan tersebut untuk program pra universiti yang ditawarkan bermula Januari.
Wakil dari Persatuan Kolej Swasta Malaysia bertemu pegawai kanan Kementerian Pendidikan berhubung isu itu.

Presiden Persatuan Kolej dan Universiti Swasta Malaysia (Mapcu), Datuk Dr Parmjit Singh berkata, persatuan itu telah mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu untuk dikaji semula.

Beliau berkata, pelajar yang merancang untuk melanjutkan pengajian ke Australia dan New Zealand mungkin kerugian tempoh setahun kerana terpaksa memulakan program Matrikulasi atau kursus asas, sekali gus menangguhkan program Ijazah Sarjana Muda.

Jelasnya, Mapcu menyedari salah satu syarat yang ditulis dalam surat kelulusan untuk institusi pengajian tinggi swasta adalah kelayakan kemasukan untuk setiap kursus.

"Bagi kes program asasi, standard minimum keputusan SPM adalah ditetapkan dan keputusan percubaan peperiksaan tidak diperuntukkan dalam syarat itu dan oleh itu, mengambil pelajar berdasarkan keputusan tersebut dianggap sebagai melanggar syarat-syarat tersebut.

"Namun, kemasukan pelajar berdasarkan keputusan percubaan telah diamalkan sejak tiga dekad lalu dan dibenarkan oleh kementerian.

"Malah ia turut digalakkan pada pertengahan 1990 apabila negara dibelenggu gejala lepak dan bohsia untuk memastikan pelajar lepasan sekolah menengah melakukan aktiviti produktif," katanya.

Timbalan Menteri Pendidikan II, P. Kamalanathan berkata Mapcu telah menghantar kertas kerja mengenai perkara tersebut kepada Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh.

"Kami akan mengkaji semula perkara itu," katanya.

sumber

0 Response to "Keputusan Percubaan SPM Tidak Boleh Guna Untuk Kemasukan Pra Universiti Bermula 2015"

Post a Comment