Kisah Benar Seorang Isteri Dapat Suami Berjawatan Tinggi Tetapi Pembohong Besar


“Saya berusia 27 tahun, bekerja di sebuah bank dan baru mendirikan rumah tangga dengan seorang lelaki bernama Mirul (bukan nama sebenar) yang mendakwa dia seorang pengurus sebuah syarikat insurans.

“Perkenalan kami bermula semasa saya menghadiri satu majlis keraian anjuran tempat kerja saya bersama kawan-kawan. Melihat kejujurannya untuk berkawan, saya terima dengan hati terbuka.

“Alhamdulillah, dia serasi dengan saya. Hubungan kami berjalan selama enam bulan sebelum dia melamar saya. Kerana sudah jatuh cinta dan yakin dia lelaki terbaik untuk melindungi saya hingga ke akhir hayat, saya menerimanya untuk menjadi teman hidup saya.

“Saya tidak pernah bertanya lanjut tentang pekerjaannya, di mana dia tinggal dan latar belakang keluarganya. Malah, keluarga saya juga suka kepada Mirul kerana kebaikannya.

“Lamarannya diterima oleh keluarga. Persiapan kahwin berjalan lancar. Cincin pertunangan, hantaran dan gelang sebagai hadiah membatalkan air sembahyang juga dibeli oleh Mirul sendiri tanpa membawa saya.

“Seminggu sebelum majlis pernikahan dan setelah kad jemputan diedarkan, Mirul memberitahu saya wang hantaran untuk saya terpaksa digunakan untuk urusan perniagaannya yang sedang mengalami masalah.

“Masih lagi mempercayainya, saya akur dengan segala alasan yang dia beri, mujur ibu bapa juga faham. Saya terus berdoa dan berharap selepas ini tidak ada lagi masalah yang timbul sebelum kami disatukan.

“Pada hari bahagia kami, keluarga Mirul juga datang dari kampung tanpa ibu bapanya yang dia beritahu saya sedang uzur. Majlis menyambut menantu tidak diadakan kerana kata Mirul, mahu selesaikan semuanya di rumah saya.

“Saya faham, mungkin faktor kewangan dan kesihatan ibu bapanya menghalang dia buat kenduri di kampungnya. Majlis berjalan seperti dirancang. Alhamdulillah.

“Seminggu selepas kahwin, saya mula bekerja. Mirul masih di rumah kerana katanya dia masih bercuti. Saya gembira dia masih cuti sebab sekurang-kurangnya dia boleh menyesuaikan diri dengan keluarga saya kerana kami tinggal bersama ibu bapa saya atas permintaan mereka.

“Seminggu kemudian, Mirul masih tidak pergi bekerja, saya juga pelik sebab tak kan dia cuti kahwin sampai dua minggu, sedangkan kami tidak merancang untuk pergi berbulan madu. Apabila saya tanya, katanya dia telah berhenti kerja di tempat lama kerana tidak tahan dengan tekanan kerja. Dia berjanji akan mencari kerja lain.

“Hampir sebulan Mirul tidak bekerja. Sepanjang masa itu, Mirul hanya menghantar dan mengambil saya dari pejabat. Dalam kereta, dia tidak banyak cakap. Saya mula perasan ada yang tidak kena.

“Bila saya tanya kenapa tidak keluar mencari kerja, dia marah-marah dan berkata saya berkira dengannya. Saya juga cuba mengujinya dengan meminta wang belanja dengan alasan, saya kehabisan wang semasa kenduri sementara menunggu gaji.

“Dia mula mengamuk dan mengugut akan keluar dari rumah. Saya tidak mahu kecoh-kecoh dan mahu selesaikan masalah ini dengan baik. Lalu saya ajak dia berbincang tetapi dia enggan dan meminta saya jangan lagi mengungkit tentang pekerjaannya.

“Esoknya, saya mendapat idea. Saya hubungi salah seorang kenalan lamanya di pejabat. Saya kenal kawannya itu. Kami berjumpa dan saya terus ceritakan apa yang berlaku selepas kami kahwin.
“Alangkah terkejutnya saya apabila dimaklumkan, Mirul tidak bekerja di tempat tersebut. Dia hanya buat kerja sambilan yang disuruh majikannya di sebuah syarikat penghantar surat.

“Kawannya itu menceritakan segala-galanya kepada saya. Katanya, Mirul sebenarnya tidak ada kerja tetap, dia buat semua kerja bergantung pada ihsan kawan-kawan yang dia kenal. Dia minta maaf sebab terpaksa bersubahat dengan Mirul masa kami kahwin dahulu.

“Amirul juga suka bercakap bohong dan mereka-reka cerita. Dia suka pinjam duit orang tetapi tidak dibayar. Dia juga tidak ada keluarga dan semasa majlis pernikahan saya dahulu, yang datang semuanya kawan-kawan dia yang ada di Kuala Lumpur.

“Kawan itu juga mencadangkan saya ke kedai emas untuk mengesahkan sama ada cincin dan rantai tangan yang diberinya kepada saya semasa majlis pernikahan dahulu tulen atau palsu.

“Sekali lagi saya terkejut, sebak dan sedih dengan apa yang Mirul lakukan. Memang sah barang kemas yang diberikan kepada saya adalah palsu, padanlah dia tidak mahu membawa saya bersama.

“Saya menangis sepanjang hari mengenangkan apa yang Mirul buat kepada saya, tergamak dia menipu saya sampai macam ini sekali. Saya harus melakukan sesuatu. Saya perlu selesaikan hal ini segera.

“Dalam perjalanan balik ke rumah, saya hanya mendiamkan diri. Mirul nampak resah dan bertanya saya kenapa. Saya tidak menjawab tetapi meminta dia bersabar sehingga sampai di rumah.

“Malam itu, saya bongkar segala rahsia Mirul kepada ibu bapa saya. Mirul terkejut dengan apa yang saya ceritakan kepada ibu bapa saya. Bapa saya hilang sabar dan menghalau dia dari rumah sebab saya bercakap dengan bukti.

“Ibu turut menangis dan meraung mengenangkan apa yang menimpa saya. Ibu sangat sedih kerana anak sulungnya diperlakukan sedemikian rupa. Mana lagi nak tanggung malu dengan saudara mara dan kawan-kawan. Namun saya pasrah, saya katakan kepada ibu bapa saya, ini ujian Allah untuk saya, saya reda.

“Sejak itu, Mirul tidak muncul lagi. Saya ke pejabat kadi untuk memfailkan perceraian dengan alasan saya ditipu dan Mirul tidak memberi nafkah zahir dan batin kepada saya selama kami bernikah selama enam bulan. Dengan bantuan seorang sepupu, saya berjaya dalam kes tersebut.

“Alhamdulillah, segala-galanya telah selesai tetapi saya masih trauma dengan kejadian itu. Walaupun reda dengan ketentuan Ilahi, jauh di sudut hati, masih ada parut lukanya.

“Mujur ibu bapa dan keluarga menyokong saya. Sedih duka saya mereka sama-sama rasa. Saya pasrah dengan kejadian ini dan berharap wanita dan gadis di luar sana supaya berhati-hati apabila mencari calon suami.

“Siasat latar belakang mereka terlebih dahulu, jangan main yakin dengan berdasarkan cinta sahaja. Ini pengajaran berguna untuk saya. Walaupun malu dengan saudara mara dan keluarga, saya kena kuat dan tabah.

“Saya mohon ditukarkan ke tempat lain selepas kejadian itu. Saya mahu mencari ketenangan untuk meneruskan kehidupan saya. Doa saya agar Allah mudahkan hidup saya dan temukan jodoh yang baik-baik yang boleh membimbing saya di dunia dan akhirat,” begitu kata-kata akhir Aza sebelum menamatkan ceritanya.

Aduh, sedih saya dengar cerita Aza. Saya turut bersimpati dengan apa yang Aza alami.
Alhamdulillah, Aza seorang yang tabah dan kuat semangat. Calang-calang wanita pasti akan menjadi murung dengan tragedi ini.

Ingatlah, lelaki yang hendak dijadikan teman ke akhir hayat adalah mereka yang boleh menerima kekurangan dan kelebihan anda di samping membimbing anda ke jalan yang diredai Allah SWT.

Mengakhiri catatan, pesanan telus daripada saya, dunia ini berpusing mengikut masa dan ketika. Satu masa anda berada di dalam kesedihan, akan tiba masanya putaran itu singgah untuk memberi anda kesenangan dan kebahagiaan.

Salam

0 Response to "Kisah Benar Seorang Isteri Dapat Suami Berjawatan Tinggi Tetapi Pembohong Besar"

Post a Comment