Malaysia Tidak Bercadang Larang Atau Haram Loom Band

Loom Band Di Malaysia

Kementerian Kesihatan tidak bercadang untuk mengharamkan atau mengenakan larangan terhadap penggunaan gelang getah atau 'Loom Band' selepas timbul isu phthalates iaitu bahan kimia karsinogenik dikesan dalam produk tersebut.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata getah aneka warna ditenun menjadi gelang itu bukan dianggap sebagai produk mainan tetapi dipasarkan sebagai aksesori hiasan untuk kanak-kanak yang lebih tua dan golongan muda.

"Bagaimanapun, ibu bapa dinasihatkan supaya tidak memberi atau menjauhkan gelang getah itu daripada kanak-kanak berusia bawah empat tahun atas faktor keselamatan dan kesihatan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata menurut Skim Penilaian dan Notifikasi Bahan Kimia Industri Kebangsaan Australia, kanak-kanak berusia sehingga 36 bulan menghadapi  risiko kesihatan sekiranya mengunyah atau mengisap bahan plastik yang mengandungi phthalates.

Oleh itu, katanya, kanak-kanak yang lebih tua dan golongan muda tidak menghadapi risiko tersebut.

Phthalates, bahan kimia yang mempunyai keupayaan mengganggu hormon, digunakan terutamanya untuk meningkatkan fleksibiliti dan meningkatkan pelbagai ciri-ciri lain plastik.

Ahad lepas, peruncit barangan mainan kanak-kanak terbesar di Britain, 'The Entertainer', telah menarik balik semua produk 'Loom Band' dari 92 kedainya di seluruh negara itu selepas sebuah program televisyen mendedahkan gelang getah itu mengandungi 40 peratus phthalates.




0 Response to "Malaysia Tidak Bercadang Larang Atau Haram Loom Band"

Post a Comment