Nasihat Untuk Suami Panas Baran Dan Suka Maki Hamun

Saya hamba Allah yang daif. Dulu, saya balu yang mempunyai dua anak lelaki comel. Tahun lalu, saya berkahwin dengan jejaka yang membuka hati saya.

Panas Baran Dan Suka Maki HamunMalangnya, suami panas baran dan suka memaki hamun jika berlaku perselisihan faham. Suami selalu mengatakan saya isteri derhaka dan hidup tak diberkati jika saya pulang ke rumah dan mendiamkan diri kerana terlalu penat. 

Suami sangat baik tetapi kadangkala panas baran dan sangat sensitif jika saya tidak melayaninya sangat. Saya pernah difitnahnya melayan baik kawan sekerja, terutama lelaki. Suami jenis enggan mengalah dan sentiasa berasakan dirinya betul. 

Setiap kali bergaduh, saya tidak mahu menjawab dan berdiam diri saja tetapi dia mendesak saya menjawab, dan akhirnya dia yang panas hati.


Saya pernah mengalami alam berumahtangga sebelum ini. Sepanjang itu saya tiada masalah dengan arwah suami dan hidup kami sangat bahagia. Persoalannya, adakah saya yang bersalah?



MAMA 
Kuala Lumpur
 

Tujuan utama perkahwinan adalah untuk berkasih sayang, kemesraan dan kebahagiaan serta mengembangkan zuriat manusia dengan cara baik. 

Sebagaimana firman Allah: “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmat-Nya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.” (Surah ar-Rum, ayat 21) 

Dalam usaha memastikan tujuan ini berterusan, puan perlu menambah ilmu rumah tangga. Ini kerana situasi kehidupan harian, ujian dan tekanan hidup sentiasa berubah. 

Hanya peningkatan ilmu dan keimanan boleh membantu puan mengatasi masalah dihadapi. Puan perlu memahami hak puan sebagai isteri dan hak diberi layanan sebagai isteri selain nafkah untuk anak. 

Jalani ujian kehidupan ini dengan tabah dan sabar dengan mendekatkan diri kepada Allah SWT yang sentiasa melihat dan menguji hamba-Nya yang mana paling sabar dan bertaqwa. 

Jika puan tidak dapat bertahan dengan ujian, Islam memberi jalan keluar kepada puan seperti pembubaran perkahwinan secara fasakh atau khuluq. Puan fikirkan juga anak supaya tidak terabai. 

Berdoalah kepada Allah supaya diberi jalan terbaik untuk dilalui dan dikurniakan kesabaran, ketabahan serta keazaman tinggi bagi mengharungi kehidupan penuh mencabar ini - myMetro



sumber

0 Response to "Nasihat Untuk Suami Panas Baran Dan Suka Maki Hamun"

Post a Comment