ISLAM menggalakkan umatnya melawat
orang yang sakit. Kemusykilan saya ada tidak adab-adab tertentu, sama ada bagi
seorang perempuan atau lelaki untuk melawat orang yang sakit itu. Bagaimana pula
jika orang yang hendak kita lawati itu berlainan jantina, ada tidak garis
panduan daripada Islam?
Jawapan
Menziarahi orang sakit adalah amalan
mulia. Ia dapat mengingatkan kita yang sihat bahawa kita juga akan sakit. Hari
ini kita sihat, esok lusa mungkin kita pula yang sakit. Ziarah juga dapat
mengeratkan hubungan silaturahim.
Antara adab ziarah ialah pemilihan
waktu yang wajar. Untuk hospital, maka ziarahi pada waktu melawat. Jika di
rumah, ziarahi lah pada waktu petang. Waktu malam mungkin tidak sesuai kerana
pesakit mungkin ingin berehat dan tidur. Maka pilihlah waktu yang sesuai. Waktu
ini mungkin berubah mengikut keadaan pesakit.
Selain itu, tidak sewajarnya kita
berbual lama dengan pesakit. Kita menziarahi sambil duduk satu hingga dua jam
berbual isu politik, ekonomi dan agama. Pesakit ingin berehat. Cukup sekadar 10
minit bertanya khabar, mendoakan kesihatannya, menyampaikan salam orang lain
kepadanya dan beberapa perkara yang ringan sahaja.
Selain itu, boleh juga dibawa buah
tangan. Seeloknya buah tangan yang sesuai dengan pesakit. Pesakit kencing manis
lalu kita membawa buah rambutan yang manis. Hatinya mungkin ingin makan, namun
tertahan dengan sebab sakitnya. Maka sewajarnya dibawa biskut yang sesuai dengan
pesakit kencing manis.
Ini antara sebahagian adab yang boleh
diamalkan. Pada masa yang sama, kita tidak lupa mengingatkan pesakit agar banyak
bersabar, banyak ingat kepada Allah dan memohon istighfar kerana ini adalah
ujian Allah kepada orang yang sakit - Utusan online
0 Response to "Adab Ziarah Orang Sakit Cara Islam"
Post a Comment