Ini Punca Utama Masalah Rumput Stadium Nasional Bukit Jalil


Ini Punca Utama Masalah Rumput Stadium Nasional Bukit Jalil. Selepas sekian lama berdiam tanpa sebarang kenyataan, Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) Datuk Rozabil Abdul Rahman tampil memberi penjelasan dan perkembangan terkini mengenai status rumput di Stadium Nasional Bukit Jalil yang menjadi topik hangat selepas perlawanan akhir Piala Malaysia awal bulan lalu.


Rozabil yang memegang jawatan utama di PSM bermula Jun tahun lalu berkata, berdiam diri bukan bermakna pihaknya tidak menjalankan tugas atau lari daripada tanggungjawab, tetapi dalam tempoh itu beliau bertungkus-lumus mencari formula terbaik mengatasi masalah rumput di stadium utama negara ini.


Proses penanaman dan pengairan
Jelas Rozabil, masalah padang atau rumput di Stadium Bukit Jalil bukan perkara baharu sebaliknya ia tidak pernah berhenti sejak 1998 kerana rahsia struktur stadium yang tidak diketahui ramai rakyat Malaysia khususnya para jurulatih dan penyokong bola sepak tempatan.Beliau mendedahkan, masalah sebenar stadium itu ialah faktor infrastrukturnya iaitu berbumbung yang menutupi ruang padang dan dibina di bawah paras laut.Menjelaskan dengan lebih terperinci, katanya, berikutan dua faktor besar itu, setiap jenis rumput yang ditanam tidak dapat tumbuh dengan baik kerana kurang mendapat cahaya matahari secara terus."Pelbagai dakwaan mudah keluar di media, dan saya ingin berterus terang bahawa proses menukar rumput bukan bermula bulan Oktober tahun lalu, tetapi hanya berlaku pada Februari tahun ini kerana dalam tempoh empat bulan itu kita buat sistem pengairan padang. Stadium ini selalu ada air bertakung."Proses penanam rumput itu kita serahkan kepada kontraktor dan selepas itu serah padang kepada kita namun ada masalah yang timbul. Pihak kontraktor ada syorkan jenis rumput lama tetapi masalah tetap timbul dan ketika itu saya baharu saya sahaja memegang jawatan ini."Jadi saya bersama pihak pengurusan tanpa memanggil mana-mana konsultan memutuskan bersetuju menyerahkan proses penukaran rumput ini kepada kontraktor yang mencadangkan untuk rumput jenis Bermuda."Ketika tender dibuka tidak ada kontraktor yang datang dengan cadangan rumput ‘Cow Grass’  kerana pihak PSM tidak meletakkan sebarang syarat spesifik jenis rumput,” jelasnya.


Empat jenis rumput 
Menurut Rozabil hanya empat jenis rumput sahaja yang sesuai digunakan di stadium iaitu rumput jenis Cow Grass, Bermuda, Zoysia dan Paspalum berdasarkan cuaca di Malaysia."Kita cuba guna rumput jenis Zoysia dan Paspalum tetapi kedua-duanya tidak sesuai. Jadi memandangkan tidak ada kontraktor yang tampil dengan rumput ‘cow grass’ kita memilih untuk menggunakan rumput Bermuda, lagipun harga yang ditawarkan tidak begitu mahal."Saya berpuas hati dengan rumput Bermuda ini berbanding dengan rumput lain kerana karektornya jenis berjalan dan menjalar. Dalam tempoh beberapa bulan selepas itu, padang stadium ini diguna buat kali pertama untuk aksi final Piala Malaysia awal bulan lalu,” jelasnya.


Aksi Piala Malaysia dedah masalah padang
Selepas padang ini digunakan aksi final itu, kelihatan rumput Bermuda ini begitu teruk sehingga menimbulkan pelbagai reaksi dan persoalan mengenai penggunaan rumput tersebut."Kita nampak rumput seperti tercabut selepas perlawanan. Tetapi sebenarnya ia tidak tercabut, sebaliknya terselak kerana jenisnya yang menjalar dan bukan naik menegak selain kurang cengkaman di atas pasir."Kita dapati masalah rumput itu tidak mencengkam kerana pertumbuhannya agak lambat memandangkan tidak cukup pencahayaan serta udara. Ramai orang tanya kenapa kita guna pasir di bawah rumput dan bukannya tanah? Jawapannya ialah faktor kelembapan di stadium ini sangat tinggi, tidak cukup cahaya dan berada di bawah paras laut. "Keadaan Stadium Nasional Bukit Jalil tidak sama dengan stadium di negeri lain yang mendapat cahaya dan berada di atas paras laut, itu perkara pokok yang perlu difahami."Selepas itu saya memanggil pakar rumput dari Vietnam dan Jepun malah turut pergi ke Majlis Perbandaran untuk mendapat pandangan terbaik mengenai landskap struktur stadium di Bukit Jalil kerana kita tidak ada pendekatan yang lain lagi memandangkan rekabentuknya yang berbumbung serta berada di paras bawah laut.


"Dan satu lagi keadaan stadium ini, ia tidak ada tiga elemen penting iaitu cahaya, udara dan angin. Kita sendiri boleh lihat betapa teruknya keadaan stadium yang mengambil masa lebih kurang 20 minit untuk aliran udara mengeluarkan asap jika penonton membakar mercun.

"Selepas duduk berbincang, akhir sekali kami mengambil keputusan untuk mendengar nasihat Profesor Dr Abdul Shukor Juraimi dari Fakuti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM) yang mencadangkan agar rumput itu dipotong secara menegak (vertical cut) agar ia tidak menjalar."Sejak itu, rumput kelihatan lebih baik berbanding sebelum ini. Untuk mempercepatkan pertumbuhan dan mendapat cahaya yang cukup kita gunakan satu lampu pencahayaan pertumbuhan (grow light)."Saya akui satu lampu tidak cukup dan kita telah buka tender untuk membeli tiga lagi grow light pada Januari ini sebab saya percaya kalau hanya satu sahaja, ia tidak boleh menyelesaikan masalah rumput ini."Di Stadium Wembley atau kelab-kelab lain di Eropah, mereka menggunakan grow light ini untuk memastikan cahaya mencukupi untuk rumput kerana di sana cuaca lebih sejuk,” jelas Rozabil panjang lebar.Katanya lagi, tempoh sebenar untuk rumput itu matang ialah setahun setengah. Namun beliau yakin menjelang Mac depan, Stadium Nasional Bukit Jalil mampu menjadi tuan rumah bagi perlawanan Kelayakan Piala Asia AFC Bawah 23 Tahun.

"Minggu depan (Khamis) kita ajak media datang ke stadium melihat sendiri keadaan padang, rasai sendiri rumputnya. Cuma jika ada beberapa bahagian di tepi padang yang kelihat seperti lopak air, itu perkara yang sangat sukar diselesai. Selain itu, padang itu kini dalam penjagaan rapi.


"Malah jika Malaysia mara ke final Piala AFF Suzuki, stadium ini sudah sedia untuk digunakan. Sepatutnya aksi separuh akhir pertama pada Ahad ini mereka bermain di Bukit Jalil, tetapi ketika pengesahan stadium keadaan rumput belum sempurna sepenuhnya dan saya tidak berani untuk memberi kebenaran kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).


"Tetapi pada hari ini, keadaan rumput sudah baik dan sudah boleh digunakan. Pada 16 Januari ini akan digunakan secara rasmi untuk perlawanan Piala Sumbangsih."Saya percaya dalam tempoh tertentu Stadium Nasional Bukit Jalil akan jadi yang terbaik. Cuma bagi kami masa. Selepas ini saya juga tidak mahu lagi  stadium ini dicemuh dengan masalah sama sebelum datang melihat sendiri," ujarnya.


Prosedur Operasi Standard (SOP) 
Selepas menemui cara penyelesaian mengenai mengenai masalah rumput setakat ini, Rozabil bakal mengeluarkan satu Prosedur Operasi Standard (SOP) yang boleh dipakai kakitangan PSM bagi penjagaan rumput di padang berkenaan."Sebelum ini tidak ada peraturan jelas mengenai penjagaan rumput di stadium. Jika rumput rosak, kita tampal dengan rumput luar."Saya boleh buat seperti itu (tampal), tetapi sampai bila masalah ini boleh selesai, takkan itu sahaja taraf stadium nasional kita."Jadi saya akan membuat satu SOP yang akan diguna pakai oleh pengurusan secara berterusan walaupun jika selepas ini saya tidak lagi memegang jawatan di sini. Ini kerana masalah di stadium ini sebenarnya bukanlah rumput tetapi tiga elemen tersebut (pencahayaan, udara dan angin) dan sebab itulah ia perlu penjagaan yang betul."Kita akan kekal menggunakan rumput Bermuda dan mengubah karektornya daripada yang menjalar kepada menegak. Rumput ini sangat 'manja'."Antara standard penjagaan yang perlu ditekankan adalah potong rumput dua hari sekali, potong secara menegak 23 milimeter, ‘blowing’ setiap hari, penggunaan baja yang sesuai. Dulu kita pakai baja biasa, tetapi  sekarang kita pakai baja biostimulant, mahal sikit tetapi berbaloi.Jika kaedah ini terus digunakan, saya yakin masalah ini tidak akan berlaku lagi di masa depan," katanya.


Rumput Tiruan (Artificial Grass) 
Menurut Rozabil, ramai orang bertanyakan kepada Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin kenapa kita tidak menggunakan rumput tiruan walaupun mendapat kelulusan daripada Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA).

Kita perlu tahu bahawa Malaysia akan menjadi tuan rumah Sukan Sea pada 2017 dan Stadium Nasional Bukit Jalil satu-satunya stadium yang sempurna untuk acara ‘Track and Field’. Jadi kita tidak boleh guna rumput tiruan kerana acara ini perlu dijalankan dalam satu tempat dan perlu menggunakan rumput biasa."Dalam tempoh dua tahun ini kita akan terus memperbaiki masalah padang yang timbul bagi menjaga status antarabangsa stadium ini."Dalam pada itu, ingin saya tekankan bahawa Stadium Nasional Bukit Jalil memang berbeza dengan stadium-stadium yang lain. Jangan buat perbandingan.

"Malah sebelum ini ada laporan membandingkan Stadium Larkin dengan Stadum Nasional Bukit Jalil. Saya setuju bahawa Stadium Larkin antara yang terbaik dan tidak berdepan dengan masalah rumput, tetapi perlu ingat bahawa rekaan stadium di sana terbuka, semua elemen penting ada dan sangat berbeza dengan struktur di Bukit Jalil,” jelasnya.

Selain itu Rozabil turut menjelaskan jumlah RM1.5 juta keseluruhan perbelanjaan membaik pulih stadium ini bukan untuk rumput sahaja tetapi termasuk infrastruktur.

"Jumlah RM1.5 juta itu termasuk RM600,000 untuk pasir dan rumput, manakala selebihnya (RM980,000) adalah untuk infrastruktur stadium,” tambahnya mengenai kos sebenar proses pemulihan stadium itu. Lapor mStar online


sumber

0 Response to "Ini Punca Utama Masalah Rumput Stadium Nasional Bukit Jalil"

Post a Comment