Luahan Hati Mualaf Dihalau Diludah Perhatikan Orang Solat di Masjid

"Suatu ketika dahulu, hidup saya kosong setelah anak saya dibawa lari bekas isteri. Saban hari, arak menjadi teman melepaskan tekanan. Sehingga segala kerja saya terbengkalai", ujar Adnan atau nama asalnya Anantha Raj A/L S.E Rajah berasal dari Machang, Kelantan.

Benci masjid

Pemuda bertubuh sasa ini membesar dalam keluarga yang berpegang kukuh kepada kepercayaan Hindu.

“Dahulu, saya tinggal dalam komuniti Melayu. Jadi, agama Islam bukan asing bagi saya. Hendak dikatakan keputusan saya menganut Islam hasil pengaruh persekitaran, saya tidak rasa begitu. Semasa berumur enam tahun, kami telah berpindah ke Kuala Lumpur kerana ibu berkhidmat sebagai doktor di sana,” kata Adnan.

Beliau akui sejak kecil dia bukanlah berminat dengan Islam. Bahkan beliau amat membenci Islam disebabkan beberapa peristiwa yang dialaminya daripada sikap umat Islam sendiri.

“Saya membesar dengan melihat kebaikan dan keburukan orang Islam di depan mata. Saya pernah ponteng sekolah dan bersiar-siar di kota raya. “Saya hendak pulang tapi wang dah habis. Tiada siapa sudi bantu hulur sedikit wang walaupun beberapa syiling untuk menelefon mama.

“Tiba-tiba seorang lelaki tua berbangsa Melayu menyapa saya. Setelah mengetahui kesulitan yang dihadapi, dia membawa saya makan dan menghulurkan RM50 untuk tambang teksi. Alhamdulillah, dengan pertolongan itu saya berjaya mengelakkan mama tahu saya ponteng sekolah,” ujar Adnan yang masih mengingati wajah lelaki budiman itu.

Namun, pengalaman buruk dengan segelintir orang Islam lebih mempengaruhi diri Adnan. Beliau memberitahu sikap ingin tahu ketika zaman persekolahan telah mendorong beliau mengintai jemaah masjid bersolat.

“Saya lihat di kuil, gereja dan tokong, dari luar kita boleh lihat mereka beribadah. Tetapi, saya tidak tahu langsung bagaimana orang Islam beribadah.

“Jadi, saya mengintai mereka dari tingkap masjid. Apa yang saya dapat ketika itu? Saya diherdik dihalau. Pernah juga muka saya diludah oleh seorang jemaah masjid kerana duduk memerhatikan orang solat dari tangga masjid. “Sejak itu, masjid adalah tempat yang saya paling benci. Saya pernah berjanji tidak akan sesekali masuk masjid lagi,” katanya.

Bagaimanapun, perancangan ALLAH SWT tidak siapa boleh mengubahnya. Adnan bekerja dengan seorang majikan beragama Islam. Setiap kali bekerja di luar, mereka kerap singgah di masjid berdekatan. Namun, biarpun dipelawa berkali-kali, Adnan lebih rela menanti di kereta daripada melangkah ke tempat paling dibencinya.

Tuhan memanggil saya

“Ketika itu di Masjid Kapitan Ke.ling, Pulau Pinang. Majikan saya menunaikan solat manakala, saya pula asyik menghisap rokok sambil memandang jelik rumah ibadah umat Islam ini. Tiba-tiba, saya terlihat satu papan tanda tertulis 'Non-Muslim are Most Welcome' di dinding masjid tersebut.

“Tidak semena-mena kaki saya ringan melangkah ke pintu masjid. Saya disambut dengan mesra oleh pemandu pelancong masjid dan dibawa menjelajah ke seluruh masjid. Alangkah puas dan tenangnya hati dapat melihat keindahan masjid dan orang bersolat. Sejak itu, saya sering melawat masjid-masjid besar demi melepaskan hajat yang pernah tertahan dahulu,” cerita Adnan lagi.

Adnan tidak lagi membenci Islam. Bahkan, semakin ingin tahu dan melihat mereka beribadah. Suatu hari, majikannya yang bertugas sebagai pendakwah di Hidayah Centre meminta pertolongannya. “Saya diminta membantu menyelesaikan masalah seorang lelaki India yang ingin memeluk Islam.

“Pada hari yang dinantikan, kami menunggu lelaki itu di sebuah kedai. Dalam penantian itu, saya bersama majikan dan teman-temannya berbual mengenai pelbagai perkara hinggalah kepada hal berkenaan Islam. Pada satu detik, saya ditanya apakah bersedia menjadi seorang Muslim. Lalu, tanpa berfikir saya jawab ‘Ya, saya sedia’.

“Selesai melafazkan syahadah, saya rasa terbit satu kekuatan dalam hati ini. Ketika itu, saya masih tertekan dengan hal keluarga. Apabila memeluk Islam, masalah itu seolah-olah hilang begitu sahaja,” ujar beliau tersenyum.

Setelah dua minggu bergelar Muslim, perkara itu dikhabarkan kepada ibunya.

“Ketika saya menghulurkan kad pengenalan Islam saya, mama terdiam agak lama. Saya sangka dia akan menangis dan mengamuk. Saya terkejut apabila dia tanya, senang ke masuk Islam?”. “ALLAH SWT sahaja yang tahu betapa gembiranya apabila mengetahui mama memang sudah lama berhajat memeluk Islam, hanya tidak tahu kepada siapa harus dia pergi,” ceritanya.

Matanya bergenang. “ALLAHuakbar, mama meninggal dunia dalam Islam pada 2011. Itu yang saya paling syukuri,” katanya.

Serah pada ALLAH

Ditanya tentang anaknya, beliau hanya berserah pada ALLAH SWT.

“Isteri saya curang dengan sepupu saya sendiri. Kami bercerai sebelum saya masuk Islam lagi dan mereka berdua bawa anak saya lari. Sehingga hari ini, saya tidak berjumpa dengannya.

“Insya-ALLAH, saya percaya andai ALLAH ingin ketemukan saya dengan anak saya, kami akan bertemu jua satu hari nanti. Kini, saya hanya berdoa dan berserah kepada-Nya,” ujar Adnan lembut mengusap-usap parut di tangannya kesan torehan pisau sepupunya sewaktu ingin berbincang hak penjagaan anaknya.

Kini, Adnan turut bertugas separuh masa di Hidayah Centre bagi membantu golongan insan yang ingin memeluk Islam. 

Sumber mymediahubonline.blogspot.com

0 Response to "Luahan Hati Mualaf Dihalau Diludah Perhatikan Orang Solat di Masjid"

Post a Comment