Kuala Lumpur : Bendahari Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Vanidah Imran bangkit mempertahankan dirinya berikutan laporan polis dibuat oleh persatuan berkenaan, hari ini.
Ia rentetan daripada tindakan Seniman membuat laporan polis mendakwa kehilangan buku cek yang diberi tanggungjawab kepada beliau.
Menurut Zed Zaidi selaku presiden badan berkenaan, kehilangan buku cek yang didakwa beliau itu menyukarkan Seniman untuk menjalankan aktiviti serta menyalurkan sumbangan kebajikan.
Dakwa Zed lagi, Vanidah yang menggalas tanggungjawab itu sejak September dikatakan tidak memberi kerjasama.
Laporan itu dibuat di Balai Polis Taman Melawati, di sini, hari ini.
Ikuti penjelasan Vanidah kepada BH Online.
"Apa yang saya lakukan ini sebagai melindungi diri saya dan persatuan. Saya tidak mahu kejadian lalu berulang kembali yang membabitkan soal kewangan. Sehingga hari ini saya tiada akses untuk melakukan pengeluaran wang.
"Saya tidak boleh mengeluarkan cek sewenang-wenangnya. Sehingga saat ini juga saya belum boleh menjalankan tanggungjawab dan amanah yang diberikan sebagai bendahari persatuan. Nama saya belum termaktub sebagai penama untuk bank bertanggungjawab itu.
"Mana mungkin saya boleh mengeluarkan wang sesuka hati pada situasi ini, ia ternyata akan membahayakan diri saya. Ini soal amanah dan tanggungjawab. Ia bukan perkara mainan," katanya.
Ditanya mengenai tindakan Zed, aktres berkenaan kurang pasti apa motif beliau berbuat demikian.
"Kenapa perlu sampai ke tahap membuat laporan polis. Kita ada saluran dan boleh adakan mesyuarat ahli jawatankuasa khas dan bawa berbincang perkara ini," katanya.
Dalam pada itu, Zed turut meminta pihak bank supaya menggugurkan nama pelakon tersebut dan mengeluarkan buku cek baharu.
Selain itu dia turut mahu mengadakan mesyuarat undi tidak percaya dilakukan tahun depan kepada aktres berkenaan. Credit BH
0 Response to "Penjelasan : Saya Tiada Akses Keluarkan Wang SENIMAN - Vanidah Imran"
Post a Comment