Bajet 2015 Tidak Lagi Realistik – Najib



KUALA LUMPUR: Akibat kejatuhan harga minyak mentah dunia yang secara langsung mengurangkan pendapatan negara, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyatakan Bajet 2015 yang diumumkan pada Oktober lalu tidak lagi realistik.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata demikian ketika mengumumkan Perutusan Khas mengenai keadaan ekonomi semasa dan kedudukan kewangan negara di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), sebentar tadi.

Menurutnya, harga minyak mentah global sejak enam bulan kebelakangan ini menjunam lebih lima puluh peratus.

“Trend ini juga disebabkan pengeluaran gas dan minyak 'shale' yang meningkat ketara di Amerika Syarikat, berikutan kemajuan teknologi pengeluaran minyak.

“Ahli ekonomi mengganggarkan purata harga minyak mentah bagi tahun 2015 adalah antara US$40- US$70 setong.

“Kerajaan perlu semak semula untuk merendahkan unjuran purata paras harga asas minyak kepada US$55 setong bagi 2015 dan kerajaan dijangka memperoleh tambahan lebihan semasa akaun fiskal sebanyak RM3.7 bilion

“Namun pada harga US$48 setong yang diunjurkan sekarang, kerajaan akan mengalami pengurangan hasil sebanyak RM13.8 bilion,” katanya.

Bagaimanapun kata Najib, sekalipun peruntukan subsidi bahan api dapat jimat RM10.7 bilion melalui pelaksanaan mekanisme pengapungan terkawal harga runcit minyak, kerajaan masih mengalami kekurangan hasil sebanyak RM8.2 bilion bagi menampung langkah-langkah Bajet 2015.

Terdahulu, Bajet 2015 dibentangkan dengan andaian harga minyak akan dikekalkan pada US$100 setong, bagaimanapun harga minyak mentah Brent telah jatuh sebanyak lebih daripada separuh.

Dalam pada masa sama, kerajaan telah mengunjurkan pertumbuhan 5.0 sehingga 6.0 peratus untuk tahun ini, manakala ramalan pasaran adalah untuk pertumbuhan sekitar 4.0 peratus.

- mD



0 Response to "Bajet 2015 Tidak Lagi Realistik – Najib"

Post a Comment