PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Mahkota
Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim memberitahu, beliau memahami protes yang
dibuat para penyokong bola sepak terhadap pentadbiran Persatuan Bola Sepak
Malaysia (FAM), minggu lalu.
Walau bagaimanapun ujar Tunku Ismail, beliau
sama sekali tidak menyokong sebarang salah laku dalam kalangan peminat bola
sepak dan juga tidak bersetuju dengan cara protes yang dibuat
tersebut.
“Saya tidak menyokong budaya ‘hooligan’ dan tidak setuju dengan
tindakan protes sebegini yang ditujukan kepada FAM. Saya tidak menyokong
sebarang salah laku yang dilakukan oleh para penyokong bola sepak di mana jua di
seluruh negara.
“Namun ianya tidak bermakna saya tidak memahami protes
para penyokong bola sepak Malaysia yang tidak berpuas hati dengan cara FAM
mentadbir sukan bola sepak di negara ini,” katanya melalui satu kenyataan yang
dipetik dari laman Facebook Johor Southern Tigers, semalam.
Mengulas lanjut, Tunku Ismail menegaskan tidak menyalahkan Presiden FAM,
Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dalam kesilapan yang dilakukan badan induk
pentadbir bola sepak tersebut.
“Saya tidak menyalahkan Presiden. Saya
menyalahkan organisasi. Saya menyalahkan ahli-ahli jawatankuasa dan ahli-ahli
gabungan yang tidak bersatu dan bersuara menegur kesilapan yang dilakukan oleh
badan induk pentadbir bola sepak itu.
“Saya berdoa supaya suatu hari
nanti, badan pentadbir bola sepak negara akan mengabulkan hajat para penyokong.
Bola sepak adalah milik rakyat. FAM juga milik rakyat. Nasihat saya kepada
mereka yang tidak memahami bola sepak dan mereka yang hanya bersuara demi modal
politik peribadi, cukup-cukuplah dan hentikanlah. Anda hanya membuatkan diri
anda kelihatan kurang bijak,” katanya.
Sabtu lalu, seramai 12 penyokong
Johor Darul Ta'zim (JDT) ditahan kerana mempamerkan kain rentang (tifo) seorang
pemimpin berwajah anjing dipercayai bertujuan mengaibkan pemimpin FAM pada
perlawanan Piala Sumbangsih 2015 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor
Baharu.
Sumber
0 Response to "TMJ Faham Kenapa Penyokong Protes Tapi..."
Post a Comment