Tragedi
meragut
3 nyawa di Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) Fasa2, Kemaman, tempoh hari, turut
menjadikan seorang bayi berusia dua bulan, Muhammad Saif Danial Rosli, anak
yatim.
Ibu bayi
itu, Nur Alifah Md Yusuf, 27, seorang kakitangan Public Bank Dungun, terbunuh
bersama rakan sekerjanya, Tan Lee Lee, 47, dan seorang lagi, Azuddin Deraman @
Muda, 45, apabila dirempuh sebuah kereta ketika berada di lorong
kecemasan.
Ibu
mangsa, Wan Norasyikin Wan Mohd Amin, 53, berkata, cucunya itu sememangnya tidak
faham apa-apa tentang erti kehilangan, tetapi ahli keluarga yang melihatnya
terasa amat sedih dan sayu.
Menurutnya,
dia tidak menyangka anaknya yang baru sahaja dua hari memulakan kerja selepas
habis tempoh berpantang, sudah pergi buat selama-lamanya.
“Arwah
berpantang di rumah saya, tetapi apabila sudah mula bekerja dia bagi anaknya
untuk dijaga ibu mertua kerana saya juga bekerja.
“Kali
terakhir saya bertemunya pada Sabtu lalu, iaitu sehari sebelum dia bekerja.
Sebelum itu dia sudah beritahu akan hadir mesyuarat di Kuantan pada
Isnin.
“Bagaimanapun,
dia kelihatan agak gelisah dan runsing kerana terpaksa meninggalkan anaknya yang
masih kecil,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Padang Pulut, di sini,
semalam.
Talian
terputus
Kata Wan
Norasyikin, pada malam sebelum kejadian, Nur Alifah ada menghubunginya tetapi
mereka tidak sempat berbual panjang kerana tiba-tiba talian
terputus.
“Dia
tidak menghubungi saya semula dan apabila teringatkan dia, saya terus
menghubunginya kira-kira jam 8.15 pagi, tetapi tidak berjawab.
“Naluri
keibuan saya mengatakan bagai ada sesuatu yang tidak kena dan kira-kira jam 9
pagi, salah seorang menantu menghubungi saya mengatakan Ifah kemalangan dan
meninggal dunia,” katanya.
Katanya,
dia tidak mempercayai berita itu dan bergegas ke Hospital Kemaman untuk
mendapatkan pengesahan.
“Sampai
di hospital, saya melihat sendiri mayatnya. ALLAH....! Berat menerima kenyataan
itu, tetapi itulah ketentuan Ilahi,” ujarnya.
Arwah
sering kelihatan pucat
Wan
Norasyikin berkata, anak ketiga daripada lapan beradik itu seorang yang periang
dan ceria, tetapi sejak kebelakangan ini wajahnya kelihatan pucat
sahaja.
“Saya
sangka dia kurang makan ubat ketika berpantang sehingga menyebabkan wajahnya
nampak pucat.
“Mungkin
itu juga petanda yang dia akan pergi buat selamanya. Memang nampak dia agak
susah hati untuk meninggalkan bayinya ketika keluar bekerja,”
katanya.Menurutnya, kemalangan berlaku pada hari kedua anaknya itu bekerja
selepas bercuti lama, dan tiada siapa pun menduga perkara itu akan
berlaku.
“Dia
kelihatan ceria bersama adik-beradik lain ketika Aidiladha baru-baru ini, dan
jika berdepan masalah pun dia seorang yang tenang,” katanya.
Bagaimanapun,
katanya, bayi mereka tidak menunjukkan sebarang perubahan, malah tidak merengek
walaupun tidak dapat menyusu susu ibunya.
“Sekarang
kami terpaksa memberikan susu formula sepenuhnya. Selepas ini mungkin anaknya
akan dijaga keluarga mertua tetapi kami akan sama-sama menjaga dan memberikan
kasih sayang kepadanya.
“Kami
harap Muhammad Saif dapat membesar dengan baik walaupun sudah kehilangan ibu,”
katanya.
'Dia
pergi dengan cara baik'
Sementara
itu di Kuala Terengganu, Jannah Zaleha Nik, 68, ibu Azuddin, memberitahu, dia
reda dengan pemergian anaknya itu dan menganggap pemergian Allahyarham sebagai
seorang perwira.
“Saya
bangga dengan arwah kerana dia pergi dengan cara yang baik, iaitu dalam keadaan
ingin membantu orang lain, malah saya dimaklumkan dia sempat meminta maaf kepada
pemandu kereta yang terlibat dengan kemalangan itu, sebelum dirempuh,"
katanya.
Azuddin,
bapa kepada dua anak itu maut ketika membantu Nur Alifah dan Tan Lee Lee yang
duduk di bahu jalan selepas kereta mereka terbabas akibat terlanggar lopak air
di LPT2, sebelum sebuah lagi kereta terbabas dan merempuh ketiga-tiga
mereka.
Jannah
Zaleha, bekas Ketua Wanita Umno Bahagian Kuala Terengganu mengakui, pemergian
anak lelakinya itu cukup meninggalkan kesan dalam hidupnya.
Menurutnya,
anaknya itu berubah menjadi kurang bercakap dengan adik beradik lain, sedangkan
sebelum itu, dia dianggap penyeri dalam keluarga.
“Sejurus
menerima berita ini daripada anak bongsu, hati saya terus terdetik, patutlah
Zuddin (arwah) berperangai pelik sejak akhir-akhir ini. Rupanya Zuddin nak
tinggalkan ummi buat selamanya.
“Walaupun
saya masih bersedih dan amat terkejut dengan pemergiannya, saya reda kerana tahu
dia milik ALLAH walaupun saya ini ibunya,” katanya sebak ketika ditemui di
kediamannya di Taman Sri Intan, di sini, semalam.
Menurutnya,
sejak suaminya, Draman @ Muda Abdullah meninggal dunia November tahun lalu,
Azuddin banyak mengambil alih tanggungjawab menjaga
adik-beradiknya.
“Sejak
ayah dia meninggal, Zuddin banyak berubah. Dia lebih cakna tentang adik
beradiknya berbanding sebelum ini.
“Setiap
kali dia berjumpa mereka, dia akan tanya perkembangan sama ada dari segi
kesihatan dan aktiviti harian mereka sedangkan sebelum ini dia jarang berbuat
demikian,” katanya.
Jenazah
Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Syed Ibrahim, iaitu
bersebelahan kubur bapanya, kira-kira jam 10 malam.
Semalam,
akhbar melaporkan tiga kakitangan bank maut selepas terlibat dalam nahas tragik
membabitkan empat kereta akibat terlanggar lopak air dalam kejadian di Kilometer
313.9 LPT2 dekat Seri Bandi, Kijal, Kemaman.
Kemalangan
kira-kira jam 8.30 pagi itu, menyebabkan Siti Nur Alifah Md Yusuf, 27, dan Tan
Lee Lee, 47, yang merupakan kakitangan Public Bank Cawangan Dungun serta
Azuddin, pegawai bank di Maybank meninggal dunia di lokasi
kejadian.-SINAR
0 Response to "(4 Gambar) Wanita dua hari berkerja selepas pantang maut tinggalkan anak yatim piatu"
Post a Comment