SHANGHAI – Sebuah kajian tahunan melaporkan
semalam, jumlah bilionair di China kini melebihi golongan itu di Amerika
Syarikat (AS) buat kali pertama dalam sejarah.
Majalah ekonomi Hurun Report melaporkan,
China kini mempunyai 596 bilionair – peningkatan 242 orang berbanding tahun
lalu, yang jauh menjangkaui 537 bilionair AS direkodkan.
Pengerusi Hurun Report, Rupert Hoogewerf
berkata dalam satu kenyataan: “Walaupun ekonominya lembab, golongan kaya
di China nampaknya tidak terkesan, malah tahun ini nampaknya yang terbaik untuk
mereka.”
Menurut laporan majalah tersebut, usahawan hartanah
dan hiburan, Wang Jianlin mengalahkan pengasas Alibaba, Jack Ma sebagai orang
terkaya di China.
Wang – yang mengasaskan syarikat konglomerat Wanda
– melihat kekayaannya meningkat lebih 50 peratus kepada AS$34.4 bilion (RM141
bilion) berikutan lonjakan harga sahamnya.
Wang terkenal kerana beberapa pembelian di luar
China termasuk penganjur pertandingan Ironman, kumpulan pemasaran sukan Swiss,
Infront, dan pegangan dalam kelab bola sepak Sepanyol, Atletico
Madrid.
Dia menjadi terkenal pada 2012 selepas membeli
rangkaian panggung wayang AS, AMC Entertainment, dengan harga AS$2.6 bilion
(RM10.7 bilion).
Sementara itu, Ma tersenarai di tempat kedua dengan
kekayaan AS$22.7 bilion (RM93.2 bilion). Tempat ketiga kekal diduduki taikun
minuman, Zong Qinghou dari Wahaha dengan kekayaan AS$21 bilion (RM86
bilion).
Manakala pengasas Tencent yang mengendalikan
aplikasi popular WeChat di tempat keempat dengan AS$19 bilion (RM78
bilion).
Pemilik syarikat telefon pintar Xiaomi, Lei Jun
pula tersenarai di tempat kelima selepas menggandakan kekayaannya kepada lebih
AS$14 bilion (RMRM57 bilion).
Tempat keenam dan ketujuh masing-masing dipegang
pemilik Yan Hao syarikat pembinaan China Pacific Construction serta pengasas
enjin carian Baidu, Robin Li. –AFP/myMetro Online
0 Response to "CHINA PALING RAMAI BILLIONAIRE ATASI AS BUAT KALI PERTAMA"
Post a Comment