Anggota polis membawa seorang suspek yang bekerja
sebagai pengawal keselamatan sekolah untuk menunjukkan lokasi dua bilah pisau
yang disembunyikan di kawasan sekolah itu yang dipercayai digunakan untuk
membunuh seorang pelajar tingkatan lima awal pagi tadi. - Foto
BERNAMA
GEORGETOWN – Pelajar perempuan Tingkatan Lima, yang
ditemui mati di rumah keluarganya di Teluk Kumbar dekat sini semalam, telah
dirogol sebelum dibunuh teman lelakinya.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Datuk
Zakaria Ahmad berkata suspek berusia 20 tahun itu memberitahu polis dia
melakukan perbuatan itu akibat cemburu kerana pelajar itu mempunyai teman lelaki
lain.
“Lelaki itu yang bekerja sebagai pengawal
keselamatan di sebuah sekolah di Bayan Lepas, mempunyai kunci pendua rumah
mangsa dan dipercayai masuk ke dalam rumah itu kira-kira 6 pagi
semalam.
“Ketika itu, pelajar perempuan berkenaan
tinggal bersendirian kerana ibu bapanya pulang ke rumah neneknya di Bayan Lepas.
Polis sedang siasat bagaimana lelaki itu mendapatkan kunci pendua rumah
berkenaan,” katanya pada sidang berita di sini, hari ini.
Mayat Pelajar Perempuan Ditemui Dengan Kesan Kelar Di Leher
Mayat Intan Suraya Mawardi, 17, pelajar sebuah
sekolah menengah di Teluk Kumbar ditemui dalam keadaan terbaring dan berselimut
di atas katil oleh bapanya, yang pulang ke rumah pada 7.30 malam.
Zakaria berkata lelaki itu, yang mempunyai rekod
jenayah berkaitan dadah, ditahan di Teluk Kumbar kira-kira dua jam selepas
penemuan mayat pelajar itu dan mengaku telah membunuh mangsa.
Beliau berkata lelaki itu juga menunjukkan kepada
polis tempat dia membuang pisau yang didakwa digunakan untuk membunuh mangsa,
iaitu dalam sebuah lubang di kawasan pencawang elektrik sekolah tempat dia
bekerja.
“Polis menemui dua bilah pisau yang
dibungkus dalam anak tudung putih yang terdapat kesan darah dipercayai milik
mangsa dan siasatan mendapati senjata itu diambil di rumah mangsa. Polis turut
menemui semula telefon bimbit mangsa yang dibuang di kawasan tempat kerja suspek
itu,” katanya.
Menurutnya siasatan mendapati lelaki itu, yang
mengenali mangsa sejak awal tahun ini, masuk ke dalam rumah pelajar itu untuk
membunuh teman wanitanya kerana marah dan cemburu.
“Mangsa dipercayai dibunuh antara tujuh dan
lapan jam sebelum mayatnya ditemui,”katanya.
Zakaria berkata ujian air kencing mendapati lelaki
itu negatif dadah dan dia kini direman tujuh hari bagi membantu
siasatan.
Jenazah pelajar perempuan itu dikebumikan di Tanah
Perkuburan Islam Masjid Sungai Batu kira-kira 5 petang ini.
Dalam perkembangan lain, Zakaria berkata orang awam
menemui mayat seorang lelaki dipercayai rakyat asing dengan beberapa kesan
kecederaan di kepala dan badan di Jalan Kongsi 5, Sungai Bakap di Nibong Tebal
dekat sini pada 10.40 pagi semalam.
Mayat lelaki itu, yang hanya berseluar panjang,
dipercayai dibunuh di tempat lain sebelum dibuang di tepi jalan itu dan ditutup
dengan selimut.
“Lelaki berusia lewat 20-an itu mati akibat
kecederaan parah di kepala dipercayai dihentak dengan batu. Tiada sebarang
dokumen ditemui,” katanya.
Beliau meminta orang ramai yang kehilangan kenalan
atau pekerja dan mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi
balai polis berdekatan. – BERNAMA
0 Response to "PELAJAR TINGKATAN 5 DIROGOL SEBELUM DIBUNUH TEMAN LELAKI"
Post a Comment