Penoreh getah ditahan cuba seludup 620 bungkus ketum

Cakoroi
GAMBAR HIASAN

Cubaan kedua seorang penoreh getah menyeludup daun ketum ke negara jiran membawa padah apabila kegiatan itu berjaya dikesan polis dalam satu kejadian di Jitra, Kedah hari ini.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Abd Rahim Abdullah berkata, dalam kejadian kira-kira jam 5.40 pagi itu suspek dikesan memandu sebuah kereta jenis Proton Saga dalam keadaan mencurigakan menghala ke arah Changloon.
"Anggota dari Unit rondaan MPV IPD Kubang Pasu yang sedang menjalankan rondaan telah mengekori kenderaan suspek dan mengarahkan lelaki itu memberhentikan kenderaannya.
"Bagaimanapun, suspek ingkar dan cuba melarikan diri dengan memecut keretanya sebelum berjaya ditahan berhampiran Simpang Asun, Jitra," katanya.

Abd Rahim berkata, hasil pemeriksaan ke atas suspek dan kenderaan, pihaknya menemui sejumlah 620 bungkusan lut sinar yang disyaki daun ketum."Daun ketum dengan anggaran berat 200 kilogram tersebut ditemui dalam but kereta dan kita telah membuat rampasan serta menahan suspek untuk tindakan lanjut," katanya.
Tambah beliau, hasil siasatan mendapati suspek mula menjalankan aktiviti penyeludupan itu sejak sebulan lalu dengan diberi upah RM200.
"Bekalan daun ketum itu di bawa dari Kampung Naka, Kuala Nerang Kedah dan di bawa ke Padang Besar, Perlis untuk diseludup ke Thailand melalui sempadan Malaysia-Thailand.
"Suspek berusia 22 tahun itu turut didapati positif dadah dan direman selama empat hari bermula hari ini, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 30 Akta Racun 1952," jelasnya.

Sementara itu, Abd Rahim berkata, modus operasi penyeludupan ketum ke negara jiran itu mungkin didorong oleh harga pasaran Thailand lebih tinggi berbanding harga pasaran tempatan.
"Harga tempatan RM30 sekilogram, manakala di Thailand antara RM60 hingga mencecah RM80 sekilogram," katanya.Mkini

0 Response to "Penoreh getah ditahan cuba seludup 620 bungkus ketum"

Post a Comment