PETALING JAYA – Pelakon Ridzuan Hashim berkata
kunjungannya ke kelab malam baru-baru ini bertujuan untuk bertemu dengan seorang
produser antarabangsa, bukan berfoya-foya seperti yang
diperkatakan.
Ridzuan atau nama sebenarnya Mohd Ridzuan Hashim,
51, turut menjelaskan, foto dia bersama pelakon baru Fara Mendoza dan rakan
wanita itu, Carmen yang menjadi viral di internet pula diambil semasa dua wanita
itu memanggilnya untuk bergambar sebagai peminat.
“Saya ke kelab kerana mahu berjumpa dengan penerbit
antarabangsa di sana. Ketika berada dalam kelab terbabit, dua wanita itu
memanggil saya kerana mahu bergambar.
“Mereka bergambar sebagai peminat. Saya pun tak
kenal siapa mereka. Tetapi lain pula jadinya apabila foto itu menjadi viral di
internet,” katanya yang dihubungi mStar Online pada Isnin.
Ahad lalu, teman wanita Han Wong (bekas kekasih
Tasha Shila) iaitu Carmen telah memuat naik gambar dia bersama rakan-rakan serta
Ridzuan di Instagram dengan meletakkan kapsyen ucapan terima kasih kerana
meraikan hari lahirnya di kelab berkenaan.
Bagaimanapun tidak lama kemudian gambar tersebut
telah dipadamkan Carmen selepas pengikut-pengikutnya mempersoalkan kehadiran
Ridzuan di kelab malam berkenaan.
Namun begitu gambar tersebut telah menjadi viral di
blog-blog tempatan dan ramai yang mengkritik Ridzuan dengan menyifatkan dia
sudah tua dan tidak sepatutnya berfoya-foya di tempat seperti itu.
Dalam pada itu, sumber berkata, foto berkenaan
sengaja didedahkan Carmen kepada umum.
Sementara itu, Ridzuan meminta masyarakat tidak
sepatutnya memberi pandangan skeptikal terhadap orang yang berada di kelab malam
dan ia disifatkan sebagai tidak adil.
“Tidak semestinya orang ke kelab malam itu jahat.
Saya ke sana pun sekiranya ada urusan-urusan tertentu. Bukan mahu berseronok,
apatah lagi saya mempunyai anak-anak yang sudah besar,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Ridzuan berkata dia baru
saja disunting penerbit antarabangsa bagi projek filem Hong Kong sebagai watak
gengster.
Dia juga perlu melalui uji bakat dahulu sebelum
dipilih membintangi filem berkenaan.
“Untuk filem itu saya perlu jadi gengster yang tahu
tiga bahasa iaitu Thailand, Myanmar dan Kantonis. Agak menacar, tetapi saya akan
cuba juga.
“Selain itu, ada juga beberapa penerbit negara luar
mahu saya terlibat dengan filem terbitan mereka namun semua itu masih lagi dalam
perbincangan,” tuturnya.
Ridzuan adalah pelakon terkenal sejak tahun
1980-an. – mstar
0 Response to ""SAYA KE KELAB MALAM BUKAN UNTUK BERFOYA-FOYA""
Post a Comment