Disebalik Kejadian mengerikan runtuhan
bangunan HIGHLAND TOWER rupanya masih ada satu cerita tentang bayi yang
terselamat ketika tragedi itu, yang kini sudah lebih 20 tahun berlalu
.
“Saya teringin berjumpa
‘bayi’ itu. Saya nak tahu apa jadi dengan dia dan saya tak akan berhenti mencari
dia.”
Itu luahan Tan Sri Mohamad Zaman Khan
Rahim Khan kepada penulis ketika bertemunya.
Sudah lebih dua dekad, beliau
‘mengenali’ bayi itu, tetapi pertemuan mereka hanya sebentar dan ketika
kanak-kanak itu belum mampu mengingati banyak perkara dalam
hidupnya.
Sudah hampir 21 tahun tragedi
kondominium Highland Towers runtuh berlalu, namun tidak ada satu detik pun
kenangan itu yang lupus daripada ingatannya. Tambahan pula, beliau antara
individu yang menyelamatkan ‘bayi’ berkenaan, Nur Hamidah Najib, 18 bulan dan
ibunya, Umi Rashidah Khoruman, 22, dalam insiden malang yang mengorbankan 48
nyawa.
“Saya memang menyimpan impian untuk
berjumpa dengan bayi yang kami selamatkan kira-kira 20 tahun lalu. Bayi
berkenaan warga Indonesia. Justeru, saya berusaha untuk mendapatkan bantuan
daripada pihak kedutaan untuk berjumpa dengan bayi berkenaan, mungkin dia kini
sudah berusia awal 20-an.
“Saya pernah terbaca, emak bayi
berkenaan berada di Indonesia. Saya akan teruskan usaha mencari bayi berkenaan.
Mungkin pada usianya hari ini, remaja itu sudah berkahwin. Saya hendak tahu
bagaimana keadaannya sekarang.” katanya.
Mungkin ramai yang sudah tahu, Zaman
Khan adalah antara pegawai kanan polis terawal tiba di lokasi kejadian. Mungkin
ramai juga yang mengingati ‘babak’ Zaman Khan berdiri di atas runtuhan dan
mendukung seorang bayi, seorang daripada hanya dua mangsa yang berjaya
diselamatkan dalam tragedi 11 Disember 1993, yang menyayat hati
itu.
Mengimbau saat itu, Zaman Khan yang
ketika itu Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia (PDRM),
dipanggil ke lokasi kejadian. Maklumat awal yang diterima, pokok jatuh atas
bangunan.
“Saya terfikir, kenapa beritahu saya
perkara ini? Bagaimanapun, sebagai anggota polis, kami bertanggungjawab
menyelamatkan harta benda dan nyawa.
“Ketika itu, baru saya dimaklumkan,
kondominium runtuh dan ramai yang mati. Sampai di tempat kejadian, sudah ada
pasukan penyelamat yang mencari mangsa yang masih hidup.
“Saya pun berjalan di atas bangunan
yang runtuh, terdengar suara orang minta tolong, tapi orangnya tak nampak, namun
suaranya makin kuat. Apabila timbunan kayu dan batu dialihkan baru kami nampak
seorang bayi bersama ibunya. Anggota bomba yang tarik keluar bayi dan ibunya,”
katanya.
Hari ini, apabila melalui kawasan
Highlands Towers yang dipenuhi tumbuhan, beliau pasti berasa sayu.
“Sayu melihat keadaan Highlands Towers.
Dua bangunan masih teguh berdiri. Penagih dadah jadikan bangunan itu untuk
melepaskan gian. Bangunan itu tidak ada hantu. Ketika penggambaran Highlands
Towers, saya terbabit sama.
“Saya tak pernah dengar orang kena usik
dengan hantu. Hantu pun lari apabila penagih dadah menyorok di sana! Orang kita
saja yang mudah percaya dengan benda mistik,” tambahnya.
KETIKA tragedi petang Sabtu itu, dia
sedang mandi manakala isterinya ada bersama dengan anak
mereka.
Tiba-tiba blok pangsapuri setinggi 12
tingkat itu bergegar. Dia menyerahkan anak perempuan mereka kepada pembantu
rumah dan menyuruhnya untuk menyelamatkan diri. Pembantu rumah dan anak mereka
nyaris gagal melepasi pintu keluar sebelum keseluruhan bangunan itu
runtuh.
Bagi Pengerusi Yayasan Sime Darby, Tun
Musa Hitam, tragedi itu sesuatu yang amat menyakitkan untuk diingati. Anak
lelakinya, Carlos Rashid dan menantunya, Rosina Abu Bakar, terkorban dalam
tragedi Higland Towers yang runtuh pada 1993.
“Apabila saya terdengar berita itu,
saya berada di Kota Tinggi (Johor) melawat penduduk kampung di sana. Saya
bergegas balik. Salah seorang menantu lelaki saya dan pengawal peribadi ada
bersama saya tetapi tiada siapa boleh menceritakan perkara sebenar.
“Saya memandu pulang yang mengambil
masa hampir tiga jam. Saya dapat merasakan sesuatu yang serius telah berlaku,”
kata bekas Timbalan Perdana Menteri berusia 79 tahun itu.
“Apabila tiba di lokasi, saya hanya
dapat melihat sisa runtuhan. Soalan pertama saya adalah: Dimana anak lelaki
saya? “Tiada siapa dapat memberitahu saya bahawa dia masih hidup.
Apa yang mereka katakan, mereka masih
lagi melakukan operasi mencari. Berita baik adalah cucu perempuan saya, Marisa,
selamat. Mayat Carlos dan Rosina berjaya ditemui beberapa hari selepas tragedi
11 Disember itu yang meragut 48 nyawa.
“Tiada kata-kata dapat mengambarkan
perasaan saya. Saya masih ingat lagi bekas setiausaha saya berkata:’Saya tidak
mahu anda melihat mayat mereka.”
Dan Musa tahu lebih baik untuk
mendengar kata-katanya.
Di sebalik kesedihan itu, Musa kembali
bersemangat untuk meneruskan kehidupan.
“Saya perlu mengaku bahawa apabila
sesuatu tragedi berlaku, satu perkara yang saya tahu pasti – walaupun berasa
marah – ia adalah disebabkan kecuaian orang yang tidak bertanggungjawab. Saya
juga terfikir mengenai wujudnya unsur rasuah dan pengabaian.
“Perkara yang menyedihkan sepanjang 20
tahun adalah tiada apa yang berubah. Terdapat banyak tragedi serupa dan kita
yakin semua pihak menyuarakan rasa kesal, marah dan berjanji perkara itu tidak
berulang lagi .
“Semuanya hanya cakap-cakap kosong dan
tiada apa dilakukan terutamanya dari segi perlaksanaan undang-undang, peraturan
dan lebih penting, penguatkuasaan. “Selepas insiden itu, kita duduk bersama-sama
dan bercakap mengenai masa depan Marisa. Pada mulanya, saya dan isteri
menganggap adalah lebih baik Marisa tinggal bersama kami.
Namun selepas setahun dapat menerima
situasi ini dan sentiasa sibuk, kami memutuskan adalah lebih baik jika Marisa
dijadikan anak angkat dan dijaga oleh anak perempuan saya, Rosana, yang baru
saja berkahwin pada ketika itu,” kata Musa.
Rosana adalah anak perempuan bongsu
Musa, hasil perkahwinan pertamanya. “Rosana menjaga dan memberi pendidikan
kepada Marisa seperti anaknya sendiri. Dia ada dua orang anak sendiri dan
membesarkan mereka bertiga tanpa prejudis.
Marisa kini berusia 20 tahun dan
merupakan pelajar tahun dua jurusan psikologi di Universiti Sheffield, Britain.
Bagaimanapun, dia hanya mengetahui perkara sebenar mengenai kedua-dua ibu
bapanya beberapa tahun lalu.
“Pada hari pertama setiap Hari Raya,
adalah menjadi amalan kami untuk menziarahi kubur dimana anak lelaki dan menantu
saya dikebumikan.
Apabila masa berlalu, kami mula
menceritakan kepadanya bahawa itu adalah kubur ibu dan bapanya. Dia mendengar
penjelasan kami dan dapat menerimanya.
“Kini dia sudah memahami situasi itu
sepenuhnya,” kata Musa yang juga Pengerusi Yayasan Forum Ekonomi Islam Sedunia
dan Pengerusi UmLand Bhd. 20 tahun berlalu, Musa masih sukar untuk melupakan
tragedi hitam itu.
“Saya masih ingat dijemput oleh Carlos
ke pangsapuri mereka untuk makan tengah hari seminggu sebelum insiden
itu.
Ia amat pelik, tetapi saya masih ingat,
terlihat jentolak dari jarak jauh di atas bukit. Saya enggan terlalu
memikirkannya tetapi ia masih meninggalkan kesan. Mengimbau kembali, ia boleh
jadi simbolik: satu amaran sesuatu yang buruk akan berlaku,”
katanya.
Amat menyedihkan, saat itu adalah kali
terakhir Musa bertemu anak lelakinya. Beliau kesal kerana tidak dapat meluangkan
banyak masa bersama dengan anak sulungnya itu kerana begitu aktif dalam politik
pada ketika itu.
“Kini anak lelaki saya sudah tiada, dan
saya ada seorang lagi anak lelaki dan seorang cucu perempuan. Saya cuba
meluangkan masa bersama mereka. Saya bersyukur kepada Allah kerana diberi
peluang kedua,” katanya.
- Kredit Noric Media
0 Response to "Sayu : Kisah bayi terselamat TRAGEDI Highland Tower setelah 20 tahun berlalu"
Post a Comment