KUALA
LUMPUR: Seorang wanita ditendang, diheret dan dirompak oleh dua lelaki
di dalam lif di sebuah kondominium di Setapak pada minggu lalu.
Insiden tersebut dirakamkan menerusi kamera litar
tertutup (CCTV) yang kini menjadi viral di media sosial.
Mangsa berusia 24 tahun itu mengalami lebam di
kesemua bahagian badan dan dua giginya patah.
Wanita berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai
Lim dalam perjalanan pulang ke kediamannya di tingkat lapan di kondominium
Setapak Prima apabila dua lelaki mengekorinya sehingga ke dalam lif pada
kira-kira pukul 11.40 malam, 17 Oktober lalu.
Menerusi rakaman CCTV, dua lelaki sedang berbual
antara satu sama lain dengan salah seorangnya berdiri di belakang Lim di dalam
lif dan menekan butang tingkat lapan hanya selepas beberapa saat lif naik ke
atas.
Beberapa saat sebelum pintu dibuka, seorang suspek
memberi isyarat dengan menganggukkan kepala kepada rakannya sebelum Lim ditolak
ke dinding lif.
Mangsa cuba bertindak balas tetapi keadaan menjadi
lebih buruk apabila seorang lagi suspek menarik rambutnya dan mengheretnya
keluar dari lif.
Lim cuba untuk mencapai pintu lif tetapi ditendang
oleh kedua-dua suspek beberapa kali.
Pintu lif kemudiannya dibuka dan menunjukkan
seorang suspek sedang mengira wang tunai manakala seorang lagi memegang beg
tangan Lim.
Kaki Lim boleh dilihat dengan dirinya berada di
dalam keadaan tidak bermaya terbaring di lantai.
Kedua-dua suspek melarikan diri menggunakan dua
kereta. Menerusi pemeriksaan polis mendapati kedua-dua nombor kenderaan yang
dinaiki suspek adalah palsu.
Lim yang bercakap kepada pemberita pada sidang
media MCA Wangsa Maju berkata, serangan tersebut mengakibatkan dua giginya
patah, cedera di dagu dan badan.
Mangsa turut kerugian RM8,000 termasuk dua telefon
pintar dan kunci kereta.
China Press melaporkan bahawa serangan itu
menyaksikan beberapa pengikat zip hitam ditemui di lantai di lokasi
kejadian.
Pengerusi MCA Wilayah Persekutuan, Datuk Yew Teong
Look percaya pengikat zip itu digunakan suspek untuk mengikat
mangsa.
"Ia mungkin kerja sindiket. Kita telah menyerahkan
maklumat kepada polis dan kita mendapatkan perkembangan berhubung kes ini,"
katanya seperti yang dilaporkan.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Supt Mohamad Roy
Suhaimi Sarif berkata, polis telah mengeluarkan lakaran wajah atau 'fotofit'
kedua-dua suspek dan sedang memburu mereka.
0 Response to "VIDEO: WANITA DISERANG, DIROMPAK DALAM LIF KONDOMINIUM"
Post a Comment