Sungai
Petani: “Saya hanya mampu beritahu abang ipar ‘ok’ apabila ditanya kakak (Siti
Fatimah) kerana tidak tergamak mengatakan suaminya meninggal dunia,” kata Mohd
Solihin Razali, 18, adik ipar kepada anggota tentera Mohd Hafiq Harun, 27, yang
maut selepas Perodua Kancil dipandunya merempuh pokok di Kilometer 41, Jalan
Sungai Petani-Alor Setar berhampiran Gurun, awal pagi semalam.
Dalam
kejadian jam 12.25 tengah malam, kereta dipandu mangsa dipercayai terbabas lalu
merempuh pokok menyebabkannya mati di tempat kejadian manakala isteri mangsa,
Siti Fatimah, 21, serta anak mereka Muhammad Qawiem Iqfal, 2, yang parah
dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini, untuk rawatan
lanjut.
Sebelum
kejadian, mangsa yang bertugas di Kor Polis Tentera Diraja (KPTD) bersama isteri
dan anak mereka dalam perjalanan dari Kampung Bukit Palong Selatan, Naka, Kuala
Nerang untuk pulang ke rumah mereka di Kem Lapangan Terbang Sungai
Petani.
Mohd Solihin
berkata, kakaknya bertanyakan keadaan suaminya ketika menziarahinya di hospital
sebelum wanita itu dibawa menjalani pembedahan, namun tidak sampai hati
memaklumkan yang abang ipar meninggal dunia.
“Dalam
keadaan kakak yang patah kedua-dua kaki dan tangan kiri manakala anak mereka
pula patah tangan dan luka di kepala, kami sekeluarga tidak tergamak memaklumkan
perkara sebenar, malah kakak juga tidak tahu yang bayi dalam kandungannya juga
meninggal dunia.
“Kali
terakhir saya berjumpa abang ipar ketika bersama kakak dan anak mereka pulang ke
kampung di Naka, dua hari lalu dan ketika itu arwah lebih banyak berdiam diri
daripada berbual dan hanya sesekali bermain telefon bimbitnya di luar
rumah.
“Selepas itu,
mereka bertiga terus pulang ke rumah bapa arwah di Kampung Bukit Palong, tetapi
jam 3 pagi tadi (semalam) saya dimaklumkan kereta dinaiki arwah bersama kakak
dan anaknya terbabit kemalangan di Gurun,” katanya ketika ditemui di HSAH, di
sini.
Katanya,
kejadian itu kemalangan ketiga menimpa arwah abang ipar selepas kemalangan
kereta tahun lalu selain pernah terbabit kemalangan motosikal menyebabkan tangan
kirinya lumpuh, beberapa tahun lalu.
“Dalam
kemalangan kereta sebelum ini, abang dan kakak hanya cedera ringan dan ketika
itu, kakak hamil lima bulan.
“Memang saya
agak bimbang melihat cara arwah memandu kereta kerana dia hanya menggunakan satu
tangan disebabkan tangan kirinya lumpuh,” katanya.
Sementara
itu, jurucakap polis berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila Perodua
Kancil dipandu anggota tentera terbabit bersama isteri dan anak mereka hilang
kawalan lalu terbabas ke kanan jalan sebelum merempuh pokok.
Beliau
berkata, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala
manakala isterinya patah kedua kaki dan tangan kiri sementara anak mereka pula
patah tangan kiri dan cedera di kepala.
SUMBER HARIAN
METRO ONLINE
0 Response to "'ABANG OKAY', TAK SAMPAI HATI CERITA HAL SEBENAR"
Post a Comment