
“Saya pernah terdengar dua kali jeritan dan
tangisan seolah-olah meminta tolong di sekitar bengkel, tetapi saya fikir
mungkin anak pemilik bengkel itu yang menjerit.”
Demikian dakwaan seorang wanita yang hanya
mahu dikenali sebagai Zah ketika ditanya mengenai kes pembunuhan empat individu
yang terbongkar selepas penahanan seorang lelaki bersama tiga ahli keluarganya
di rumah mereka yang terletak di dalam kawasan bengkel kenderaan di Jalan
Pahang, di sini.
Menurut wanita berusia 50-an itu, dia
beranggapan demikian kerana salah seorang daripada anak lelaki tersebut
merupakan orang kurang upaya (OKU).
Dakwanya, dia juga pernah terhidu bau hanyir
dan busuk seolah-olah bau bangkai apabila berada berdekatan sungai yang terletak
berhampiran tempat suspek dipercayai melakukan pembunuhan itu.
“Kira-kira dua bulan lalu pada pukul 8 malam,
saya ada lihat asap tebal dari arah rumah suspek. Saya fikir mungkin dia
membakar tayar atau wayar seperti selalu tetapi kali ini berbeza kerana asapnya
sangat hitam seperti orang membakar mayat.
“Saya tidak terfikir apa-apa cuma pelik sebab
selain berwarna hitam pekat, bau asap itu sangat teruk dan busuk seperti bau
darah dan daging terbakar,” dakwanya ketika ditemui di rumahnya yang terletak
berhampiran rumah suspek berkenaan.
Wanita itu memberitahu, walaupun lelaki itu
telah lama tinggal di kawasan tersebut, namun mereka sekeluarga tidak pernah
bergaul dengan penduduk setempat.
“Mereka memang jenis sombong dan tidak menegur
orang. Anak lelaki saya juga pernah dimarahi apabila mahu mendekati sungai itu
dan kami juga dilarang keras mengambil buluh di belakang rumahnya,”
katanya.
Sementara itu, anak perempuan Zah yang berusia
25 tahun berkata, dia tidak menyangka tindakan suspek memagar kawasan rumahnya
menggunakan kepingan zink rupa-rupanya bertujuan mengaburi pandangan penduduk
sekitar.
Katanya, lelaki itu juga sejak beberapa bulan
kebelakangan ini sering dilihat seolah-olah memantau keadaan rumahnya dari arah
seberang sungai.
“Dia sering datang dan kelihatan seperti sedang
meninjau keadaan rumahnya dari arah sini (seberang sungai). Kadang-kadang dia
naik ke atas (bukit) dan melihat dari sudut atas.
“Walaupun pelik, kami tidak berani bertanya
dan hanya melihat sahaja tindak-tanduknya. Lagipun, mereka sekeluarga jenis
tidak bercampur orang, jadi kami memang tidak berani untuk bertegur sapa dengan
mereka,” dakwanya.
0 Response to "Bau Daging Bakar"
Post a Comment