
Julia
(bukan nama sebenar), 49, tidak kisah sekiranya sejarah masa silamnya sebagai
seorang pelacur dijaja. Namun dengan usia yang semakin meningkat, dia sudah
tidak mahu lagi mengingati sejarah hitam dirinya, 30 tahun lalu, ketika dia
dijual oleh ibu saudaranya ke sebuah pusat pelacuran di ibu kota.
Julia
menjadi mangsa kekejaman ibu saudara sendiri yang mahu menebus segala
hutang-piutang ibu Julia yang telah meninggalkan anak itu ketika berusia tujuh
tahun kepada Mak Da (gelaran kepada ibu saudara Julia) apabila mengikut lelaki
lain ke negara seberang dan menetap di sana. Dia tinggal di situ tanpa sebarang
berita dan kiriman duit sebagai nafkah untuk anaknya itu.
Dek kerana
terlalu marah dengan perangai ibu Julia dan ugutan daripada si pengutip hutang
ketika itu, Mak Da menjual Julia kepada seorang bapa ayam ketika berusia 18
tahun pada lewat tahun 80-an.
Mendengar luahan Julia, ibarat semuanya
telah terlambat bagi dirinya yang berasal dari keluarga yang kucar-kacir dan
tidak kuat berpegang kepada ajaran agama dan kerana mahu lari daripada
dikongkong oleh Mak Da, Julia merelakan sahaja.
“Aku tidak kisah dijual.
Waktu aku darjah enam lagi, aku sudah tidak ke sekolah, hidupku hanya
berpeleseran, tiada siapa yang mahu menasihati aku. Mak Da pula sentiasa mencari
kesalahanku menyebabkan aku lebih rela hidup di luar. Aku juga tidak tahan asyik
dipukul oleh Mak Da.
“Aku pun sudah tidak ingat lagi bagaimana rupa
ibuku, aku rasa akupun bukan anak ‘halal’ kerana aku sendiri tidak tahu siapa
ayahku.
“Hendak dikatakan mengenai dara, aku mengaku sudah kehilangan
dara sejak berumur 13 tahun dengan kekasih hati pertama seorang pelajar sekolah
menengah. Seterusnya, dia tinggalkan aku.
“Hari-hari seterusnya aku masih
terus menagih kasih dan simpati kepada insan yang bergelar lelaki kerana
dahagakan rasa kasih sayang, malangnya tiada siapa pun yang ikhlas untuk
mengambil ku sebagai isteri kerana semuanya hanya ingin berseronok sahaja,”
katanya yang berasal dari Melaka.
Memandangkan itu, apabila Julia dibawa
ke bandar besar seperti Kuala Lumpur, dia sangat teruja kerana dapat merantau
jauh dari kampung, jauh dari Mak Da dan ‘kekasih-kekasihnya’ yang hanya mahu
mempergunakan dirinya.
Sebagai remaja, dia tidak kisah akan kerja apa
yang bakal dilakukannya itu asalkan dia mendapat habuan kemewahan sebagaimana
yang dijanjikan.
“Pada hari pertama, bapa ayam meminta aku melayan
seorang tuan punya restoran. Aku yang sudah berpengalaman dalam bidang ini sudah
mula ketagih dengan seks.
“Kerana layanan yang memuaskan kepada
pelanggan, aku mendapat ramai permintaan dan dinobatkan sebagai ‘pelayan’ yang
paling menarik. Berbekalkan rupa paras dan layanan yang memberangsangkan ketika
itu, aku menerima banyak tawaran dan dari situ aku kecapi pelbagai kemewahan
daripada insan bergelar lelaki.
“Pelbagai lelaki ku temui daripada
setua-tua di peringkat datuk sehinggalah yang muda dan mempunyai nama. Aku
menjadi peneman mereka di kala mereka gundah, peneman di kelab-kelab malam dan
peneman waktu tidur mereka.
“Tapi itu semua bertahan selama 15 tahun
sebelum aku mendapat tahu ada pesaing yang lebih muda.
“Bermula saat itu
permintaan untuk perkhidmatanku sudah mula kendur dan kabur. Bapa ayam pun sudah
tidak peduli dengan diriku. Aku kena berusaha sendiri untuk mencari duit,” kata
Julia yang memberitahu ketika itu dia tinggal menyewa sebuah bilik di sebuah
lorong.
Seterusnya Julia mula terasa insaf dan mencari jalan ke arah yang
benar. Saat itu dia bertemu dengan seorang lelaki yang juga pelanggannya yang
diharapkan akan membantunya keluar dari kemelut berkenaan.
Hampir dua
bulan berkenalan, Julia akhirnya mengandung, malangnya lelaki yang diharapkan
itu juga hilang entah ke mana.
“Aku hampir pasti dia lelaki yang ku cari
selama ini kerana kasihnya berbeza daripada yang ku terima daripada lelaki.
Tetapi nampaknya aku salah, tindakannya pun sama juga.
“Aku mengambil
keputusan untuk cuba mencari rezeki lain dengan membasuh pinggan mangkuk di
sebuah warung. Tetapi berapa sen sangat aku dapat dengan kerja seperti
itu.
“Aku mengambil keputusan untuk meneruskan kandungan berkenaan.
Sampai masanya aku pun melahirkan seorang bayi lelaki. Entah macam mana, ayah
kepada anakku itu, kembali mencariku. Dia berkata amat merinduiku. Kesempatan
itu aku meminta agar kami bernikah demi masa depan anak kecil itu.
“Namun
malang bagiku apabila keesokan harinya, dia telah menghilangkan diri setelah
meniduriku.
“Cukup sembilan bulan, anakku yang kedua lahir pula. Abangnya
yang sulung belum pun sampai setahun apabila adik perempuannya
lahir.
“Rentetan kehidupan yang sempit, aku tekad untuk melacurkan diri
semula untuk mendapatkan duit membeli susu dan makan pakai anak-anakku. Aku mula
berkeliaran di lorong-lorong semula.
“Aku terfikir, ini rupanya kesudahan
kehidupanku dari tempat mewah yang disanjung, aku akhirnya terpelanting di simen
kontang.
“Namun, doaku dikabulkan Tuhan, aku diselamatkan oleh sebuah
pertubuhan bukan kerajaan (NGO) wanita yang membantu aku dan anak-anak menerusi
program sampai seru (outreach) yang dijalankan di sekitar ibu kota.
“Aku
kini ditempatkan di sebuah rumah perlindungan bersama dua orang anakku. Mereka
pun sudah bersekolah rendah.
“Aku berjanji akan menjaga mereka dan
Insya-Allah tidak akan kembali ke jalan yang terkutuk itu,”
jelasnya.
Nota: Sedutan perbualan ini berdasarkan kisah sebenar
0 Response to "Ketagih seks selepas dirogol punca sejarah hitam Julia bermula"
Post a Comment