
Ini anak sulung saya. Dalam
keluarga, dia lebih mesra dengan panggilan Kak Ya. Minggu lepas dia balik rumah
dengan muka yang sedih. Saya tanya berkali-kali, namun dia hanya mendiamkan
diri. Saya bagi dia masa sampai dia sendiri nak bercerita.
Selang sejam kemudian, dia
datang pada saya sambil memegang tangan saya. Dia beritahu yang dua orang kawan
baiknya tidak mahu berkawan dengan dia lagi.
Untuk pengetahuan semua, Kak
Ya ini ada enam orang kawan baik sejak darjah satu lagi. Sebelum-sebelum ini
apabila kawan-kawan dia bermasam maka, dialah yang bertindak untuk mendamaikan
mereka. Tetapi bila sampai masa kena pada dia, dia seolah-olah buntu mencari
kesalahan diri.
Saya usap kepala dia, cakap
dengan dia suruh pergi tanya kawan-kawan dia yang dua orang itu apa sebabnya.
Mungkin dia ada buat salah dan jika ada, saya suruh dia minta maaf.
Semalam dia balik sekolah,
saya terus tanya dia dah tanya atau belum kawan-kawan dia itu. Ini dialog saya
dengan Kak Ya:
Mama: Kak Ya dah tanya ke
kawan-kawan Kak Ya pasal apa depa tak mahu kawan?
Kak Ya: Dah mama (sambil
menundukkan mukanya).
Mama: Depa cakap
apa?
Kak Ya: Kalau Kak Ya
beritahu, mama jangan marah kawan-kawan Kak Ya ye?
Mama: Okay, mama janji (dalam
hati agak berdebar).
Kak Ya: Si A dengan si B tak
kawan dengan Kak Ya sebab mama diorang tak izinkan diorang berkawan dengan orang
yang tak pandai. Antara kami enam orang, Kak Ya saja tak sekelas dengan diorang.
Diorang berlima satu kelas. Mama, kenapa Kak Ya tak pandai macam diorang? Kalau
tak, mesti si A dan si B tak pulaukan Kak Ya.
Allah, dan-dan mengalir laju
air mata saya. Sebab di hati tidak terungkap dengan kata-kata. Saya tidak
menyangka dalam zaman serba moden ini masih ada ibu bapa yang sanggup mengajar
anak seperti itu.
Di usia muda seperti itu
sudah mengajar anak double standard. Kalau anak saya nakal, saya tak kisah
kawan-kawan menjauhkan diri mereka tetapi hanya disebabkan Kak Ya bukan dalam
kelas yang terpandai, dia disisihkan kawan-kawan.
Inilah antara kesan bila
pelajar diasingkan mengikut standard atau result exam. Saya faham, dari aspek
pelajaran, guru-guru mudah mengajar kalau sudah diasingkan mengikut kemampuan
pelajar. Tetapi dari segi emosi dan pembentukan sahsiah diri pelajar itu, agak
kurang relevan cara pengasingan itu.
Saya tarik Kak Ya dalam
dakapan saya. Saya usap kepala dia dan saya beri kata-kata semangat pada dia
agar terus berusaha untuk sama-sama menjadi pandai seperti kawan-kawannya yang
lain. Tetapi saya titipkan nasihat.
"Kalau Kak Ya dah pandai,
jangan pandang rendah pada kawan-kawan yang kurang pandai. Kak Ya kena bantu
kawan-kawan untuk sama-sama menjadi pandai seperti Kak Ya,".
Dia mengangguk
laju.
Sungguh saya bukanlah ibu
yang sempurna. Dalam kesibukan mencari rezeki di samping keadaan kesihatan yang
adakalanya tidak mengizinkan, saya terkhilaf. Dalam mendidik anak-anak juga
mungkin saya terlalu berlembut. Saya letakkan semua kesalahan pada saya. Cuma
saya sangat-sangat bersyukur apabila naik darjah 4, Kak Ya sudah semakin fokus
dan dapat saya lihat dari result-result exam sebelum ini yang semakin
memberangsangkan.
Saya tidak pernah malu
mengaku dialah anak yang terbaik untuk saya yang serba tak sempurna ini walaupun
dia bukan di kelas yang terpandai. Bagi saya, cukuplah Kak Ya membesar menjadi
anak yang baik dan tidak lupa pada ibu dan bapa. Untuk masa depan, semestinya
saya mendoakan dia menjadi orang yang berjaya di dunia dan akhirat.
Tak pandai tak semestinya tak
berjaya. Saya tengok ramai orang-orang yang berjaya hari ini bukanlah di
kalangan yang bijak pandai.
Akhir nukilan, saya mohon
pada ibu bapa di luar sana, jangan sesekali mengajar anak kita menyisih
kawan-kawan yang mungkin tidak sebijak anak-anak anda. Anak-anak anda mungkin
bijak hari ini tetapi akan datang hanya Allah yang boleh menentukan. - SUMBER
0 Response to ""MAMA, KENAPA KAK YA TAK PANDAI MACAM DIORANG SAMPAI KENA PULAU ?""
Post a Comment