
Pengarah Pusat Pemantauan dan Pendedahan Maklumat,
Akmal Nasir mendakwa RM410,978.56 diambil daripada tabung anak yatim dan miskin
bagi membiayai perbelanjaan menteri dan rombongannya ke luar negara.
Selepas beberapa kontroversi dalam pentadbiran sebuah
yayasan di bawah Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pemantauan dan Pendedahan
Maklumat Kebangsaan (NOW) hari ini mendedahkan, pihak berkenaan turut
menggunakan wang daripada tabung anak yatim bagi membiayai perbelanjaan seorang
menteri dan isterinya di Amerika Syarikat (AS).
Pengarah NOW, Akmal Nasir mendakwa satu rombongan
diadakan 21 Mei hingga 29 Mei 2014, turut melewati bandar Washington DC,
Minnesota dan Iowa. Beliau memberitahu satu sidang media di Kuala Lumpur
hari ini, pembayaran lawatan bagi perbelanjaan menteri dan rombongannya itu
dibuat melalui sebuah institusi di bawah kawalan Yayasan Pembangunan Ekonomi
Islam (Yapeim).
"Lebih mendukacitakan, pembayaran itu dibuat melalui
institusi kawalan Yapeim iaitu Yayasan Pembangunan Anak Yatim/Miskin (Pemangkin)
yang mana duit itu adalah khusus untuk kegunaan bantuan anak yatim dan miskin,"
katanya.
Akmal mendedahkan jumlah keseluruhan perbelanjaan
diambil daripada tabung anak yatim dan miskin bagi menampung perbelanjaan
menteri bersama isteri serta rombongan itu dianggarkan RM410,978.56.
"Walaupun perjalanan tersebut untuk tujuan 'Pemantapan
dan Pemerkasaan' Kelab Santun Yapeim, namun ia bersifat suka ria dan langsung
tiada amal jariah," katanya.
Akmal pada sidang media itu mendedahkan antara
aktiviti rombongan tersebut termasuk majlis keraian menteri (golf), jamuan
promosi (keraian VVIP) dan lawatan 4 hari pada 22, 23, 26 dan 27 Mei 2014 ke
Leesburg Outlet + OT.
Pihaknya, katanya, memeriksa destinasi tersebut dan
mendapati ia sebuah pusat membeli-belah 'upscale outlet' barangan berjenama yang
terletak di Washington DC.
"Ia dikunjungi rombongan menteri tersebut sebanyak 4
kali di mana perbelanjaan pengangkutan sahaja mencecah RM5,908.35.
"Saya pasti pendedahan ini menjangkau imaginasi rakyat
Malaysia.
"Bagaimana satu badan disalahgunakan untuk aktiviti
menteri seperti golf, ke pusat membeli belah dan sebagainya?" soalnya.
NOW turut melampirkan bukti invois yang menunjukkan
yayasan tersebut membayar sejumlah wang mencecah RM400,000 untuk kos keseluruhan
rombongan tersebut. "Itu duit anak yatim.
Ramai yang keluar negara atas urusan rasmi, tetapi
bila gunakan duit untuk program santai, ia di luar matlamat, dan itu salah.
"Tindakan menteri itu melampau dan mengkhianati agama,
bangsa dan negara," katanya.
Justeru, badan bebas itu mendesak agar satu siasatan
menyeluruh dijalankan, di mana setiap perbelanjaan yayasan tersebut disemak dan
diedit secara terbuka.
"Siasatan ini juga perlu mengesan jumlah wang yang
hilang akibat ketirisan, kebocoran dan salah guna kedudukan," kata Akmal.
The Malaysian Insider ketika ini sedang mendapatkan
respons dari menteri yang terbabit dan pihak yang berautoriti di Yapeim.
Ini merupakan pendedahan kali keempat dakwaan
salahguna wang rakyat timbul yang melibatkan yayasan di bawah seliaan Jabatan
Perdana Menteri itu. Sebelum ini, NOW mendedahkan ia terlibat menggunakan dana
yayasan itu bagi aktiviti berkaitan pilihan raya kecil (PRK) Rompin tahun
ini.
0 Response to "NOW DAKWA YAPEIM GUNA DUIT ANAK YATIM BIAYA MENTERI MAIN GOLF DI AS"
Post a Comment