Kuala Lumpur –
Bekas guru penolong kanan sebuah sekolah rendah yang didakwa atas pertuduhan
mencabul seorang murid perempuan, akan mengemukakan surat representasi ke
Jabatan Peguam Negara supaya pertuduhan terhadapnya ditarik balik.
Peguam Agus Rosman
yang mewakili Ahmad Rapaie Mohammad, 54, memaklumkan kepada Majistret Muhamad
Faizal Ismail pihaknya akan menghantar surat itu dalam tempoh dua
minggu.
Agus turut memohon
kepada mahkamah supaya tidak membenarkan media membuat liputan kes itu,
bagaimanapun mahkamah menolak kerana prosiding itu dilakukan di mahkamah
terbuka.
“Laporan akhbar
tidak boleh dihalang kerana ini adalah mahkamah terbuka, melainkan rakaman
gambar dan video dalam mahkamah, itu tidak dibenarkan,” kata Muhamad
Faizal.
Mahkamah menetapkan
14 Disember ini untuk pengurusan kes dan 13 dan 14 Januari tahun depan untuk
perbicaraan kes.
Pendakwaan
dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya N.Joy Jothi.
Pada 23 Oktober
lepas, Ahmad Rapaie, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan memeluk dan
mencium murid itu yang berumur sembilan tahun 11 bulan dengan maksud hendak
mencabul kehormatannya di depan stor dalam Bilik Media, di sebuah sekolah di
sini pada pukul 1.20 tengah hari, 30 April 2014.
Tertuduh yang
ketika itu merupakan guru disiplin didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan
yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, denda atau sebat atau
dengan mana-mana dua daripada seksaan itu, jika sabit kesalahan, lapor
Bernama.
0 Response to "Tuduhan cabul, Bekas guru kemuka surat representasi"
Post a Comment