|
Perkara yang perlu buat dan
jangan buat sekiranya menjadi mangsa rogol atau
liwat
|
Kes rogol adalah jenayah yang paling kerap
berlaku, apabila kejadian seumpama ini berlaku, ada mangsa yang tidak tahu apa
perlu dilakukan dan ada yang terpaksa dirahsiakan kerana malu.
Bukan meminta perkara seperti ini terjadi, jika
terjadi, apa yang perlu dilakukan? rogol dan liwat bukan sahaja menimpa kaum
wanita, tetapi juga ada berlaku kepada lelaki terutamanya kanak-kanak.
Seorang doktor bernama Dr. Abdul Rahman Abdul
Kadir merupakan seorang Pakar Perubatan Kecemasan dan Trauma di Hospital Melaka
telah berkongsikan satu artikel mengenai perkara ini, apa tindakan jika
seseorang itu menjadi mangsa rogol atau liwat?
Jom kira baca apa yang ditulis oleh
beliau.
Rogol dan liwat merupakan jenayah seksual yang
boleh menimpa sesiapa sahaja. Dewasa ini, kebanyakan jenayah rogol dan liwat
adalah melibatkan orang-orang yang anda dikenali sebagai penyerangnya. Mereka
boleh jadi orang yang rapat dengan anda seperti teman lelaki, rakan, jiran,
majikan, bapa, abang dan sebagainya.
Serangan yang melibatkan orang yang dikenali
ini menyebabkan ramai mangsa keberatan untuk melaporkan kejadian kepada pihak
berwajib lalu mengakibatkan penjenayah terlepas begitu sahaja.
Anda tidak sepatutnya berdiam diri seandainya
anda dirogol atau diliwat! Ianya merupakan satu perbuatan jenayah dan adalah hak
serta tanggungjawab anda untuk melaporkan segera kepada pihak berwajib agar
pelakunya ditangkap dan dikenakan hukuman yang setimpal.
Di Malaysia, hubungan seksual yang melibatkan
gadis di bawah umur (bawah 16 tahun) walaupun dengan kerelaannya, tetap
dikategorikan sebagai jenayah rogol (statutory rape).
Jadi, apakah yang harus anda lakukan seandainya
anda atau orang yang anda kenali dirogol atau diliwat? (Naudzubillah)
Pertama sekali, selamatkan diri anda dengan
segera daripada penyerang dan pergi ke tempat yang selamat. Ini penting untuk
menyelamatkan nyawa anda dari apa-apakan atau dicederakan oleh penyerang anda.
Terdapat banyak kes di mana setelah dirogol, mangsa dibunuh bagi tujuan
‘menghapuskan’ bukti!
Segera hubungi orang yang anda percayai untuk
mendapatkan bantuan atau jika anda rasa keselamatan anda masih terancam, hubungi
polis melalui talian kecemasan 999. Polis akan segera datang untuk menyelamatkan
anda. Pihak polis juga akan membawa anda ke hospital bagi tujuan
pemeriksaan.
Sekiranya anda memilih untuk menghubungi orang
yang anda percayai (rakan, ibu bapa, saudara mara terdekat dan sebagainya),
segeralah ke JABATAN KECEMASAN HOSPITAL KERAJAAN yang terdekat. Elakkan daripada
pergi ke hospital swasta kerana hospital swasta selalunya tidak menyediakan
perkhidmatan forensik. Jika anda pergi pun, hospital swasta akan merujuk kes
anda ke hospital kerajaan yang berhampiran. Jadi anda tidak perlu membuang masa
dan pergi sahaja ke mana-mana hospital kerajaan.
Jika anda perlu/terpaksa menyalin pakaian, sila
simpan pakaian yang anda pakai (termasuk pakaian dalam) ketika diserang, di
dalam beg/plastik dan bawa bersama ke hospital. Jangan basuh atau bersihkan
pakaian tersebut. Ini penting untuk tujuan pengumpulan spesimen dan bahan bukti
kerana ada kemungkinan air mani dan DNA penyerang masih tersisa pada pakaian
anda dan boleh dijadikan sebagai bahan bukti.
JANGAN MANDI, MAKAN, MINUM, MENCUCI TANGAN,
BERKUMUR-KUMUR, MENGGOSOK GIGI, CEBOK, CUCI KEMALUAN/DUBUR atau
MENGESAT/MEMBERSIHKAN TEMPAT-TEMPAT YANG DISERANG, DIJILAT, DICIUM, DIGIGIT
ATAU DISENTUH oleh perogol atau peliwat itu.
Ini penting bagi tujuan pengumpulan bahan bukti
forensik. Benar, mangsa rogol dan liwat selalunya akan merasa jijik kerana telah
diperlakukan sebegitu rupa dan akan segera mandi kerana merasa geli pada diri
sendiri. Namun, ianya boleh menghapuskan bahan bukti penting yang mungkin dapat
dikumpulkan.
Apabila tiba di Jabatan Kecemasan, anda hanya
perlu memberitahu kepada kakitangan Jabatan Kecemasan bahawa anda telah dirogol.
Dengan serta-merta anda akan dilindungi dan dibawa masuk ke bilik khas
terlindung bagi tujuan pemeriksaan oleh doktor. Sistem ini dipanggil One Stop
Crisis Centre (OSCC) yang terdapat di semua hospital kerajaan di seluruh
negara.
Di bilik OSCC ini, anda akan diperiksa dan
dirawat oleh doktor kecemasan. Anda juga boleh membuat laporan polis di bilik
ini kepada pegawai penyiasat. Pengumpulan spesimen dan bahan bukti forensik
(external) akan dilakukan oleh doktor kecemasan.
Doktor-doktor dari bidang sakit puan (O&G)
dan pembedahan am (Surgery) juga akan turut terlibat sama bagi pemeriksaan
khusus bahagian kemaluan dan dubur (internal) sekaligus mendokumentasikan
kecederaan serta mengumpul sampel secara rapi. Seandainya mangsa adalah
kanak-kanak, doktor kanak-kanak juga akan terlibat sama. Kesemua ini akan
dilakukan di bilik OSCC untuk memudahkan mangsa.
Setelah semua urusan ini selesai, mangsa
bolehlah mandi dan membersihkan diri sepuas-puasnya di bilik mandi yang
disediakan di dalam bilik OSCC.
Mangsa juga akan dirujuk kepada pakar psikologi
dan Jabatan Kebajikan Masyarakat seandainya perlindungan sementara
diperlukan.
Doktor juga mungkin akan memberikan ubat
pencegah kehamilan dan akan memberi rawatan susulan kepada anda sekiranya anda
risau tentang penyakit jangkitan seksual (sexually transmitted disease),
bergantung kepada keadaan.
Identiti anda dijamin akan dilindungi dan
segala laporan anda kepada doktor serta pihak polis adalah dijamin
kerahsiaannya.
Lebih cepat anda datang ke hospital bagi tujuan
pemeriksaan, lebih tinggi kebarangkalian bahan bukti dapat diambil kerana bahan
bukti (evidence) masih segar. Jika anda melengahkan masa untuk melaporkan
tentang kejadian rogol/liwat, maka peluang untuk mendapatkan bahan bukti adalah
lebih tipis.
Jika anda hadir selepas 1 minggu kejadian
terjadi, ada kemungkinan sampel DNA atau air mani (semen) telah hampir
tiada.
Namun, sekiranya kesan kecederaan masih ada,
ianya tetap boleh dijadikan sebagai bukti yang kukuh bahawa anda telah
dirogol/diliwat. INGAT! Anda tidak perlu takut untuk mendapkan bantuan serta
perlindungan sekiranya perkara ini terjadi.

0 Response to "APA YANG PERLU ANDA BUAT & JANGAN BUAT JIKA ANDA DIROGOL ATAU DILIWAT"
Post a Comment