BALIK UMRAH, SITI ELIZAD TIDAK TOLAK BABAK BERSENTUHAN

Elizad Sharifuddin, 31, bukan sahaja tidak meletakkan syarat kepada pengarah dan penerbit, malah suaminya juga tidak memberikan syarat kepadanya selepas berkahwin. — Fot ehsan Instagram/Elizad Sharifuddin
KUALA LUMPUR, 16 Jan — Pelakon Siti Elizad Mohd Sharifuddin tidak akan menolak babak bersentuhan meski baru pulang mengerjakan umrah Disember lepas.
Elizad, 31, berkata bukan sahaja tidak meletakkan sebarang syarat kepada pengarah dan penerbit, malah suaminya juga tidak memberikan syarat selepas berkahwin.
“Pun begitu saya kenalah pandai jaga namanya dan keluarga kedua-dua belah pihak.
“Pada masa sama, pihak stesen televisyen juga sudah tidak membenarkan babak yang keterlaluan dalam drama.
“Kalau babak suami isteri pun hanya berbual saja di atas katil dan tidak ada babak panas pun,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro hari ini.
Pelakon drama “Teman Lelaki Upahan” berkata ibadah umrah yang dikerjakan bulan lalu umpama hadiah perkahwinan yang didirikannya sejak lapan bulan lepas.



Katanya, yang muncul dalam filem-filem “Gangster” dan “Bilut”, menjadi harapan dalam doa agar dikurniakan cahaya mata pertama selain berpeluang berkunjung sekali lagi ke tanah haram.
“Sudah lama saya merancang menjejakkan kaki ke tanah suci Mekah dan baru sekarang kesampaian.
“Sebaik saja berumah tangga, saya percaya inilah masa terbaik untuk mengerjakan ibadah umrah bersama suami.
“Alhamdulillah, urusan ibadah kami dipermudahkan Allah sepanjang di sana. Kali pertama melihat Kaabah, air mata saya menitis kerana kagum dengan kebesaran-Nya,” dia dilaporkan berkata.
Elizad berkata umur suaminya kini sudah mencecah 43 tahun membuatkan mereka mahu segera menimang cahaya mata.
Katanya, seorang anak pun memadai buat mereka sebagai pelengkap kebahagiaan rumah tangga.
“Suami saya berusia 43 tahun, kenalah cepat ada anak. Kami tidak kisah soal jantina kerana apa yang lebih penting anak sihat dan cukup sifat.

“Kami tidak merancang, cuma belum ada rezeki lagi untuk menimang zuriat. Hasil perkahwinannya terdahulu, suami saya mempunyai dua anak,” katanya kepada akhbar itu.

0 Response to "BALIK UMRAH, SITI ELIZAD TIDAK TOLAK BABAK BERSENTUHAN"

Post a Comment