Seorang warga tua berusia 69 tahun dan
pasangannya, seorang janda berusia 52 tahun dikenakan hukuman denda RM2,800 oleh
Mahkamah Rendah Syariah di sini, pada Selasa, selepas kedua-duanya mengaku
bersalah atas pertuduhan persediaan melakukan persetubuhan luar nikah.
Hakim Syarie Nik Mohd Shahril Irwan Mat Yusof
mengenakan hukuman itu terhadap Mamat Abdullah, dari Kampung Batin, Seberang
Takir, di sini, serta pasangannya Suri Abdullah, 51, dari Ladang Tayor, Sungai
Tong, Setiu, selepas kedua-duanya mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut
Seksyen 29 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001.
Mahkamah turut mengenakan hukuman penjara lima
bulan kepada kedua-dua tertuduh yang masing-masing memiliki tujuh anak,
sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan, Mamat yang bekerja sebagai
nelayan dan Suri yang bekerja sebagai buruh ladang didakwa melakukan kesalahan
itu di sebuah bilik hotel di Jalan Tok Lam di sini, kira-kira jam 10.50 pagi
pada 12 November tahun lalu.
Sepasukan pegawai dan Penguatkuasa Syariah
daripada Pejabat Agama Daerah Kuala Terengganu melakukan serbuan berwaran ke
atas bilik berkenaan dan sebaik tiba, pintu utama bilik didapati tertutup rapat
dan berkunci dari dalam.
Selepas beberapa kali memberi salam, pintu
dibuka seminit kemudian oleh tertuduh lelaki yang hanya memakai seluar slack
panjang tanpa baju. Pemeriksaan di dalam bilik berkenaan kemudian menemui
tertuduh wanita bersembunyi dalam bilik air dengan hanya berkain baju kurung
berkemban.
Siasatan lanjut mendapati hanya mereka berdua
berada di dalam bilik berkenaan dan soal siasat mendapati mereka berdua tiada
hubungan suami isteri.
Sementara itu, Nik Mohd Shahril dalam
penghakimannya menasihatkan kedua-dua tertuduh yang sudah lanjut usia segera
bertaubat dan insaf dengan kesalahan yang dilakukan.
"Anda berdua mempunyai keluarga, anak dan
cucu. Pada usia sebegini, anda berdua sepatutnya mengingati mati dan
memperbanyakkan amal ibadat, bukan mencemarkan diri dengan bergelumang dosa
apatah lagi perbuatan sebegini yang memalukan keluarga dan anak-anak,"
katanya.
0 Response to "Datuk, Nenek Sedia Untuk Bersetubuh"
Post a Comment