Haram tetap
haram. Hukumnya jelas. Tetapi mindset haram kita tidak semudah itu. Ia adalah
lebih tertakluk kepada satu wacana perdana agama (Mainstream Religious
Discourse) yang mengawal cara seseorang berfikir tentang perkara haram yang
perlu diketengahkan dan perkara haram yang perlu didiamkan.

Dr Maza telah
menyindir mengapa pihak agamawan begitu taksub mengharamkan vape tetapi diam
dalam isu bauksit yang lebih memudaratkan. Ini adalah kerana isu bauksit tidak
termasuk dalam Mainstream Religious Discourse. Adalah religious berbincang
mengenai hukum vape tetapi tidak religious untuk berbincang tentang hukum
bauksit.
Soalan yang
popular ialah haramkah saya kerja di tempat yang jual arak seperti 7-Eleven,
Tesco dan sebagainya. Saya suka memberi respons yang membuka lebih persoalan
supaya kita nampak masalah bukan secara zahir tetapi dari akarnya.
Saya tanya
balik, “Adakah haram bekerja di kedai fotostat buku? Undang-undang memang
membenarkan fotostat sebahagian daripada buku untuk tujuan akademik tetapi bukan
seluruh buku.”
Respons yang
biasa ialah, “Mengapa haram pula? Bukankah Islam galakkan kita menuntut ilmu!
Bukankah membaca buku itu satu cara untuk menuntut ilmu? Takkanlah penulis
begitu berkira. Pahala diberi kepadanya nanti!”
Respons di atas
bukan sekadar tidak mengiktiraf keharaman fotostat buku tetapi ia adalah satu
usaha penuh rela untuk merasionalisasikan perbuatan haram yang di luar
Mainstream Religious Discourse sehingga perbuatan haram menjadi ‘biasa, harus,
halal’. Perbuatan ini tidak perlu difikirkan, diketengahkan dan
diharamkan.
Respons saya
seperti berikut. Kalau kamu menulis buku dan syarikat menerbitkannya, apakah
harapan penerbitan? Mungkin kamu inginkan pahala semata-mata, tidak memerlukan
royalti. Tetapi jangan lupa apakah harapan syarikat?
Mungkin kamu
akan kata bahawa ilmu tidak boleh dijual beli oleh syarikat swasta. Tetapi
jangan pula lupa bahawa syarikat penerbitan mempunyai pekerja yang mempunyai
keluarga seperti kamu.
Bagaimana periuk
nasi mereka? Bila kamu fotostat sebuah buku, kamu telah merompak duit yang perlu
digunakan untuk membeli susu bayi! Yang paling tragisnya ialah kamu guna buku
itu untuk kegunaan diri kamu sehingga mendapatkan ijazah supaya kamu dapat hidup
mewah kelak!
Bila kamu kerja
di kedai yang fotostat seluruh buku, tidakkah kamu rasa berdosa setiap hari
kerana begitu banyak buku kamu sudah rompak?
Saya juga akan
menambah perencah dalam hujah saya. Kalau sebuah buku agama itu menggunakan
hadis-hadis palsu, dan kamu fotostat buku itu dan kamu dapati ia akan disebarkan
kepada orang ramai, adakah kamu tidak rasa berdosa besar? Manakah yang lebih
haram di antara kerja di kedai yang jual arak dan kerja di kedai fotostat yang
jual hadis palsu, berdusta atas nama Nabi Muhammad SAW sehingga merosakkan
aqidah dan prinsip asas agama!
Isu di sini
ialah mengapa wacana pengharaman di atas disenyapkan?
Mengapa tidak
pula mempersoalkan kedai makanan ‘Islam’ yang menjual rokok? Bukankah ini
menghina agama?
Manakah yang
lebih memudaratkan kalau dibandingkan merokok dan makan babi? Bayangkan kedai
makan ‘Islam’ yang sama itu menggantikan penjualan rokok dengan penjualan daging
babi? Adakah respons Religious Discourse kita akan sama? Mengapa tiada agamawan
yang ketengahkan isu jual rokok di kedai makan ‘Islam’ ini? Mungkin akan ada
usaha merasionalisasikan merokok sebagai makruh sahaja.
Bahkan kita
boleh fikir jauh lagi. Apakah hukum kerja di NGO dan parti politik yang
menggalakkan rasisme, mengelirukan masyarakat tentang Islam sehingga maruah
Islam tercemar? Manakah yang lebih memudaratkan antara mencemarkan maruah Islam
dan menjual arak? Mengapa Mainstream Religious Discourse kita
senyap?
Apakah hukumnya
bekerjasama dengan parti politik yang mengamalkan rasuah berbilion-bilion secara
berleluasa, terbuka dan tidak malu jika dibandingkan mereka yang berkhalwat di
hotel-hotel secara tertutup kerana malu?
Isu haram bukan
sekadar hukum tetapi ia adalah isu konsistensi dalam wacana pengharaman.
Konsistensi ini hanya akan tercapai jika agamawan kita tidak menjadi lalang yang
mengikut arus perdana tetapi berdiri atas prinsip bercakap benar walaupun
pahit.
Abdul Naser Tun
Rahman
Ketua Biro
Pendidikan Persatuan Cina Muslim
Sumber
http://www.sinarharian.com.my/ kolumnis/xifu-naser/haram- kerja-di-kedai-fotostat-1. 471464
0 Response to "HARAM Kerja Kat Kedai Fotostat"
Post a Comment