SAYA bertemu Asmah (bukan
nama sebenar), 44, ketika dia sedang menunggu untuk mendapatkan makanan dalam
satu program anjuran Barisan Aksi Interaksi Kreativiti Mahasiswa/i Fakulti
Perubatan di Pusat Perlindungan Sinar Alam, Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur,
baru-baru ini.
Menyarung skirt pendek
paras lutut dan baju T ketat dengan raut wajah yang cengkung serta tubuh sedikit
kurus, pandangan kosong wanita itu bagai menggamit hati saya untuk
mendekatinya.
Ternyata sapaan saya
dibalas mesra tanpa menunjukkan riak terkejut walaupun ketika itu ada beberapa
orang gelandangan lain yang turut menunggu makanan diedarkan berserta sedikit
sumbangan wang.
Berbual dengan wanita ini
tentang kisah hidupnya, timbul rasa belas di hati kerana dalam usia sebegitu dia
sepatutnya bukan menghabiskan masa di jalanan dan lorong-lorong gelap sebagai
pelacur murahan dan bergelumang dengan najis dadah.
"Saya tahu ini salah, tapi
inilah saja pekerjaan yang saya tahu buat dari dulu sampai sekarang. Kalau tak
bekerja mana nak dapat duit.
"Biarlah apa orang lain
nak kata, yang penting saya tak minta duit mereka," katanya yang juga hidup
bergelandangan kerana tidak mempunyai tempat tinggal.
Pendapatan hasil melacur
dihabiskan dengan membeli dadah. Jika ada lebih dia akan menyewa sebuah bilik
murah berharga RM15 untuk satu malam.
Asmah mengakui
pendapatannya sekarang tidak mewah seperti dulu ketika masih muda, malah ada
harinya sekadar cukup untuk mendapatkan bekalan najis dadah bagi melepaskan
gian.
"Kalau tengah gian, makan
minum tolak tepi yang penting mesti ada barang (dadah) tu. Lagipun sekarang
makanan senang dapat sebab banyak pihak yang tampil memberi makanan percuma
kepada golongan gelandangan di sekitar kawasan ini. Dapat juga mengurangkan
bebanan kami di sini," katanya.
Seiring umurnya yang
semakin meningkat, Asmah mengakui semakin memilih pelanggan yang ingin
mendapatkan khidmatnya.
"Dalam seminggu hanya tiga
atau empat kali saja saya keluar berkerja dan dalam semalam saya hanya hadkan 10
hingga 15 orang sahaja.
"Pelanggan yang datang
akan dipilih dahulu sebelum mereka dilayan sekurangnya lima hingga 10 minit
setiap seorang.
"Umur seperti saya dah tak
bergetah lagi seperti muda-muda dahulu. Namun bayaran yang dikenakan tetap
bergantung kepada kepuasan yang dinikmati oleh pelanggan. Selalunya bagi setiap
layanan akan dikenakan sekitar RM50," katanya tanpa selindung.
Asmah mengakui terpaksa
melakukan pekerjaan itu kerana tidak ada cara lain untuk mendapatkan wang bagi
menyara hidup dan membeli bekalan dadah.
Dengan pendidikan setakat
tingkatan tiga, tidak banyak peluang pekerjaan yang menanti
untuknya.
Apatah lagi apabila dia
terjerumus dalam kancah najis dadah sebagai penagih seawal usia 17
tahun.
"Kalau diikutkan logik
akal mana ada wanita yang waras nak kerja jadi pelacur. Semua yang berlaku ke
atas saya sekarang adalah angkara dadah.
"Memang saya akui zaman
remaja saya agak liar. Ketika usia 15 tahun saya lari dari rumah kerana tidak
tahan dikongkong oleh keluarga.
"Waktu itu saya berkawan
dengan remaja-remaja yang nakal dan merekalah yang memperkenalkan saya dengan
dadah.
"Mulanya sekadar untuk
khayal dan berseronok tetapi lama-kelamaan semakin ketagih dan tak boleh hidup
tanpanya," katanya.
Tambah Asmah, dia bukan
sahaja mengambil dadah jenis heroin sebagai alat untuk melepaskan tekanan, malah
kadang-kadang dia juga menjual bekalan dadah tersebut kepada
kawan-kawannya.
Hasil jualan dadah tidak
cukup untuknya untuk mendapatkan bekalan bagi diri sendiri.
Disebabkan ketiadaan wang
dan rasa ketagihan yang tidak mampu dikawal, Asmah akhirnya 'menjual' tubuh bagi
mendapatkan wang.
"Waktu itu memang tak
pernah terfikir dosa atau pahala. Apa yang penting saya dapat bekalan dadah dan
melepaskan rasa gian.
"Daripada sekadar untuk
mendapatkan duit ketika terdesak, akhirnya ia menjadi pekerjaan tetap hingga ke
hari ini," katanya.
Dalam pada itu Asmah
sempat bertemu jodoh pada usia 21 tahun dan suaminya juga seorang penagih dadah
yang dikenali ketika sama-sama asyik dalam dunia khayalan mereka.
"Jodoh kami tidak panjang.
Hanya bertahan 10 tahun sahaja dan hasil perkahwinan tersebut kami dikurniakan
empat orang anak.
"Saya mengambil keputusan
untuk bercerai kerana tidak tahan dengan sikap panas barannya. Jika berlaku
sebarang kesilapan pasti suami akan memukul dan menyeksa tubuh.
"Selepas berpisah kesemua
anak saya hantar ke kampung untuk di jaga oleh kedua orang tua. Saya tidak mahu
anak-anak mengetahui tentang pekerjaan saya. Sehingga kini pekerjaan saya sebagi
pelacur dan penagih masih menjadi rahsia," katanya.
Ujarnya, bukan dia tidak
tahu kesan dadah kepada diri, tetapi untuk berhenti dari ketagihan tersebut
terlalu susah baginya.
"Saya hanya berharap suatu
hari nanti jika anak-anak mengetahui tentang kisah hidup ini, mereka sudi
memaafkan saya.
"Bagi remaja diluar sana,
janganlah cuba mendekati najis dadah, kerana sekali mereka mencuba tidak mungkin
dapat patah balik," katanya.
0 Response to ""MENGAPA SAYA JADI PELACUR", KISAH PENGALAMAN HIDUP SEORANG PELACUR"
Post a Comment