
PORT DICKSON - Kedai M2 Kak Anati yang
menjual roti canai berharga 50 sen sekeping semakin diserbu pelanggan sehingga
pengusahanya tidak menang tangan, sejak kisahnya disiarkan di Sinar Harian, 5
Januari lalu.
Pengusaha kedai, Siti Salasiah Sareh Alang, 50, berkata,
sejak kisah mengenai roti canai murahnya disiarkan akhbar ini, seterusnya
menjadi viral di laman sosial, jumlah pelanggan terus naik
mendadak.
Menurutnya, dia tidak menyangka sambutan yang diterima sangat
menggalakkan dan jumlah roti canai yang dibuat juga terpaksa ditambah
kuantiti.
“Orang yang datang kebanyakannya pelanggan baru dan
Alhamdulillah pelanggan tetap kedai ni masih datang seperti biasa.
“Suami
saya tak henti-henti mencanai dan menggoreng roti canai yang ditempah pelanggan.
Sementara saya dengan dibantu anak ambil serta hantar pesanan termasuk urusan
buat air, basuh cawan dan pinggan mangkuk,” katanya ketika ditemui Sinar Harian
di kedainya di tingkat satu Terminal Bas Port Dickson, di sini.
Siti
Salasiah berkata, selain roti canai, dia turut mengusahakan perniagaan nasi
bajet dengan menu nasi putih, ayam goreng berempah, sayur dan air sirap berharga
RM4.50, bagaimanapun terpaksa dihentikan berikutan mahu menumpukan kepada
permintaan roti canai.
“Dengan roti canai ni dah tak menang tangan nak
siapkan tempahan pelanggan. Akak bersyukur sangat... Alhamdulillah orang ramai
datang nak makan roti canai ni dan berharap ia akan
berterusan.
“Bagaimanapun akak tetap akan usahakan mencari ruang untuk
buat semula nasi bajet ni sebab memang ada banyak permintaan,”
katanya.
Menurutnya, persediaan membuat roti canai, menguli tepung akan
dilakukan pada sebelah petang oleh suaminya, Adnan Idris, 52, untuk dijual pada
keesokan paginya.
“Kedai ini akan beroperasi seperti biasa pada jam 8
pagi hingga jam 7 malam setiap hari,” katanya yang turut dibantu anak keduanya
Mior Syahmi Faiz, 21.
Sumber
0 Response to "Roti canai 50 sen di Port Dickson semakin ‘meletup’"
Post a Comment