Pengasas Vida Beauty Qu Puteh, Datuk Seri Dr
Hasmiza Othman atau Dr Vida menegaskan tidak mempunyai masalah untuk
mengeluarkan tajaan RM16 juta seperti yang diminta Persatuan Bola Sepak Kelantan
(KAFA).
"KAFA minta tajaan RM8 juta semusim untuk
tempoh dua musim, tapi saya tidak mempunyai masalah mengeluarkan tajaan sebanyak
itu. Cuma apa yang lebih penting saya mahu The Red Warriors (TRW) mencapai
kemenangan dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.
"Sebagai penaja, sudah tentu kecewa melihat
pasukan yang ditaja gagal dalam merebut apa-apa piala nanti. Tapi apa yang
diharapkan selepas mendapat suntikan penajaan saya ini, pasukan Kelantan boleh
berjaya mencapai kecemerlangan nanti.
"Saya tidak mahu selepas ditaja, prestasi
mahupun kedudukan pasukan masih di paras sama seolah-olah tajaan saya tidak
memberi kesan kepada mereka," katanya ketika dihubungi, semalam.
Bagaimanapun, jutawan kosmetik itu berkata,
memandangkan ia membabitkan pelaburan besar, beliau perlu membuat penelitian
terlebih dahulu dan memastikan persetujuan boleh dicapai di antara kedua-dua
pihak supaya masing-masing mendapat manfaat daripada tajaan berkenaan.
Katanya, masih terlalu banyak perkara perlu
dibincangkan lagi, kerana beliau tidak mahu selepas tajaan berkenaan
dikeluarkan, tetapi apa yang diharapkan tidak berlaku. "Bagi saya permintaan
KAFA tiada masalah, cuma bila saya tunaikan, mereka perlu memberi ruang kepada
saya untuk melakukan sesuatu yang positif kepada pasukan.
"Saya juga perlu mengambil kira pelbagai aspek
termasuk kesesuaian nilai tajaan itu melalui draf kontrak yang dikemukakan KAFA
terlebih dulu. Namun begitu, perasaan saya mengatakan 'jodoh' dengan Kelantan
semakin kuat.
"Perbincangan rasmi akan diadakan dalam masa
terdekat selepas kembalinya Tan Sri Annuar dari Makkah. Pada hari itu, saya akan
serahkan draf dokumen kontrak setebal 10 muka surat kepada KAFA termasuk dua
syarat awal untuk dibincangkan secara terperinci," katanya.
Dr Vida sebelum ini memberi dua syarat kepada
KAFA - Stadium Sultan Muhammad IV ditukar kepada merah jambu dan nama baharu
skuad Kelantan seharusnya didahului dengan Pamoga Qu Puteh The Red Warriors
(TRW) - sebelum setuju menaja pasukan berkenaan.
0 Response to "Tak Kisah Dengan RM16 Juta"
Post a Comment