KOTA
TINGGI : Seorang lelaki yang baru melangsungkan pernikahan dengan isteri
keduanya tiga minggu lalu maut selepas kereta yang dipandu dalam perjalanan ke
tempat kerjanya terbabas di Kilometer 67 Jalan Johor Bahru-Mersing pagi
tadi.
Dalam
kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, mangsa, Mohd Zubir Mohd Husin, 45 maut di
tempat kejadian selepas kenderaan jenis Perodua Myvi dipandu terbabas ke dalam
gaung sedalam kira-kira empat meter.
Kemalangan terbabit disedari seorang penunggang
motorsikal yang kebetulan melalui kawasan terbabit sebelum memaklumkan kepada
pihak berkuasa.
Difahamkan, sejak mendirikan rumah tangga dengan
isteri keduanya, mangsa yang bekerja sebagai kerani kewangan sering berulang
alik dari Senai ke tempat kerjanya di Kilang Sawit Tenggaroh Timur.
Dalam
pada itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Rahmat Othman berkata,
kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta dipandu mangsa yang datang dari
arah Johor Bahru menghala ke Mersing hilang kawalan dan terbabas
sendiri.
"Ekoran
itu, kereta terbabit telah melanggar pokok di bawah tebing yang mana curam
kedalaman melebihi empat meter di jalan arah bertentangan.
"Semasa
kejadian keadaan cuaca hujan lebat. Kereta mangsa dijumpai oleh orang awam
kira-kira jam 10.40 pagi dan didapati ada pemandu meninggal dunia dalam
kenderaan terbabit," katanya.
Tambahnya, hasil siasatan mendapati tempat
kejadian merupakan jalan lurus, jalan dua hala dan mempunyai garisan berkembar
sebagai pembahagi jalan. Kes disiasat dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan
Jalan 1987.-SINAR
0 Response to "Ajal 3 minggu bernikah dengan isteri kedua lelaki ini maut kereta masuk gaung"
Post a Comment