Suami isteri lepas gian dalam hutan paya bakau dicekup

Polis memusnahkan salah satu khemah yang didirikan penagih di Hutan Paya Bakau Lorong 2 Bagan Sungai Besar, pagi kelmarin.
SUNGAI BESAR – Sepasang suami isteri antara 21 penagih dicekup polis kerana disyaki terlibat dalam kegiatan penyalahgunaan dadah dalam serbuan Op Sarang di Lorong 2 Bagan Sungai Besar, di sini, pagi kelmarin.

Dalam operasi kira-kira jam 8 pagi hingga jam 1 tengah hari, lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan bersama isterinya, 30-an, ketika cuba melarikan diri selepas menyedari port penagihan mereka diserbu polis.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Nor Azmi Isa berkata, operasi itu diketuai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam, Asisten Superintendan, Ramly Raaf bersama 16 anggotanya.

“Polis menyerbu masuk kawasan hutan paya bakau itu yang menjadi tempat penagih dadah termasuk pasangan terbabit untuk melepaskan gian.

“Lelaki yang bekerja sendiri dan isterinya itu cuba melarikan diri, namun gagal apabila tindakan pantas polis berjaya menahan pasangan terbabit bersama-sama dengan beberapa suspek yang lain,” katanya.

Beliau berkata, hasil ujian air kencing yang dijalankan terhadap pasangan itu mendapati mereka positif dadah jenis morfin.

“Kedua-dua suspek turut mempunyai rekod lampau berhubung kes penyalahgunaan dadah,” katanya.

Nor Azmi berkata, polis turut memberkas 19 penagih tempatan yang didapati positif dadah di lokasi sama yang mana lima daripadanya berstatus Orang Kena Pengawasan (OKP).

“Seramai 16 penagih itu ditahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Pencegahan Dadah (APD) 1983) manakala bakinya ialah OKP yang akan diambil tindakan kerana melanggar syarat,” katanya.

Beliau berkata, polis turut memusnah dan meroboh khemah yang didirikan penagih di kawasan semak yang tersembunyi untuk melepaskan gian masing-masing.

“Kesemua penagih yang dicekup direman selama 14 hari dari tarikh tangkapan,” katanya.

0 Response to "Suami isteri lepas gian dalam hutan paya bakau dicekup"

Post a Comment